News Banner Berita Terkini

altAgih RM6.2j dalam tujuh bulan
Sinar Harian, 11 Ogos 2013

PASIR PUTEH - Kifaalah Sdn Bhd mengagihkan bayaran kepada wasi atau pewaris warga emas yang meninggal dunia berjumlah RM6.2 juta dari Januari hingga Julai tahun ini.

Pengurus besarnya, Abdul Shakur Sharrie berkata, ia termasuk penyerahan cek untuk fasa tiga tahun ini berjumlah RM388,000.

Beliau berkata, selain pembayaran cek RM1,000 kepada wasi, wang pendahuluan berjumlah RM500 disampaikan untuk keluarga menguruskan pengebumian.

Sehingga 30 Jun 2013 katanya, seramai 148,196 warga emas di Kelantan berdaftar sebagai ahli Takaful Kifaalah yang mana mereka yang berusia dari 66 hingga 75 tahun mewakili 40 peratus diikuti 60 hingga 65 tahun (36 peratus) dan 76 tahun ke atas (24 peratus).

“Jumlah ahli yang meninggal dunia sehingga 30 Jun adalah 29,220 yang mana ahli berusia 76 ke atas mewakili 50 peratus daripadanya.

“Jumlah keseluruhan pampasan yang dibayar Kifaalah Sdn Bhd adalah RM54.3 juta,” katanya selepas menyampaikan sagu hati hari raya kepada setiap wakil atau petugas Pusat Khidmat Dun baru-baru ini.

Abdul Shakur berkata, pemberian sagu hati RM300 itu sebagai menghargai kerjasama 45 wakil di setiap Dun di negeri ini dalam memperkasakan lagi Skim Takaful Kifaalah Warga Emas yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, Kifaalah Sdn Bhd menyanjung tinggi perkhidmatan yang diberikan kerana pihak pengurusan tidak melantik pegawai khusus di setiap Dun.

“Kami bersyukur kerana dapat melaksanakan skim ini dengan jayanya sekali gus merealisasikan program kebajikan sesuai dengan konsep Negeri Berkebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri.

“Kami berharap skim yang dilancarkan semasa Pembentangan Bajet Sejahtera oleh Datuk Husam Musa pada tahun 2007 ini dapat diteruskan kerana ia jelas memberi manfaat kepada keluarga ahli,” katanya.

Abdul Shakur berkata, skim tersebut dinikmati seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa