Kelantan pelawa IPT buka kampus

Ditulis oleh Super User. Posted in Berita 2013

News Banner Aktiviti PMBK

altKelantan pelawa IPT buka kampus
Sinar Harian, 13 Ogos 2013

KOTA BHARU - Hari ini genap 100 hari Datuk Ahmad Yakob menjawat jawatan menteri besar Kelantan dengan tekad untuk memperkasakan pembangunan pendidikan, menarik lebih banyak pelaburan dan menyediakan kemudahan asas untuk rakyat.

Ahmad berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berminat membuka kampus di negeri ini bagi menyediakan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mewujudkan sebuah zon pendidikan di Machang untuk memudahkan IPT berkenaan mendapatkan tapak untuk pembinaan kampus mereka.

"Kami mengutamakan pendidikan tinggi yang berorientasikan Islam," katanya kepada Bernama sempena genap 100 hari beliau menjawat jawatan menteri besar Kelantan hari ini, di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Ahmad, 63, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kelantan menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 6 Mei lepas setelah Pas mengekalkan pentadbiran negeri pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau juga berkata proses untuk menaik taraf Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) sebagai kolej universiti kini di peringkat akhir termasuk menunggu kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.
   
Mengenai usaha menarik pelaburan ke negeri ini, Ahmad berkata pihaknya merancang untuk mewujudkan dasar pelaburan negeri khusus untuk mendapatkan kerjasama pelaburan dari negara-negara Asia seperti China, Jepun dan negara Arab.
   
"Fokus tarikan pelaburan itu lebih kepada sektor hab halal, kami harap mereka (pelabur) datang membuat pelaburan di Kelantan," katanya.
   
Beliau berkata pembangunan Taman Halal Hab di Pasir Mas bernilai RM63.16 juta yang kini sudah 90 peratus siap, akan menjadi tarikan baharu pelaburan ke negeri ini.
   
Pembinaan taman di kawasan seluas 43.4 hektar di Mukim Apam, Pasir Mas itu dibangunkan bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperkasakan pembangunan sektor pelancongan yang mampu menjana pendapatan baharu kepada negeri dan rakyat termasuk memperkenalkan pakej pelancongan berkaitan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelancongan berasaskan alam semula jadi selain aset warisan sejarah.
   
Ditanya dasar hubungan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah pentadbirannya, Ahmad berkata pihaknya akan memanfaatkan hubungan itu untuk membawa kebaikan sebanyak mungkin kepada rakyat negeri ini.
   
Ahmad yang sebelum ini menjawat jawatan timbalan menteri besar Kelantan sejak 1995, berkata kerajaan negeri juga sedang memberi tumpuan untuk pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang masih ramai memerlukan rumah sendiri.
   
Tumpuan juga diberikan untuk menyelesaikan beberapa masalah infrastruktur lain seperti bekalan air bersih yang berlarutan sejak sekian lama.
   
Beliau berkata pihaknya juga sedang memikirkan pendekatan baru dalam menyediakan modal pinjaman tanpa riba atau faedah kepada usahawan kecil dan sederhana menjalankan perniagaan.
   
Ahmad berkata di samping memperkenalkan perkara baru untuk dilaksanakan, pihaknya akan meneruskan projek yang diluluskan di bawah pentadbiran Nik Abdul Aziz seperti pembinaan lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai bernilai kira-kira RM2 bilion.
   
"Saya telah membentuk saff anggota exco yang lebih mantap, saya harap ia dapat memperkasakan kerja pentadbiran kerajaan dan program yang kami rancang untuk menyokong dasar membangun bersama Islam," katanya dan memberitahu semua anggota exco diarah mengisytiharkan harta mereka. - Bernama

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa