Berita


Peluang nikmati air bersih
Sinar Harian, 16 Feb 2014

PASIR MAS: Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 8,000 akaun baru akan diwujudkan bagi menikmati kemudahan air bersih yang disediakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, manfaat tersebut bakal dinikmati penduduk menerusi Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan peruntukkan khas berjumlah RM3.2 juta.

“Melalui promosi ini pengguna hanya perlu membayar serendah RM50 sahaja sebagai pendaftaran semasa membuat permohonan.

“Kos lain untuk kemasukan akan ditanggung oleh AKSB termasuk upah tukang paip,” katanya.

Sebelum itu beliau merasmikan Program Promosi Sambungan Baru Projek BALB di Loji Rawatan Air Kelar, di sini.

Menurutnya, selepas tamat program promosi tersebut penduduk yang ingin memohon air bersih perlu mengeluarkan belanja sendiri dalam lingkungan RM1,000.

Beliau berkata, oleh itu konsep siapa cepat akan diguna pakai sehingga peruntukan tersebut habis dan penduduk boleh memohon menerusi Penghulu Mukim di kawasan yang terlibat atau datang terus ke pejabat AKSB jajahan untuk membuat permohonan.

Hanifa berkata, sehingga kini dianggarkan sebanyak 20,000 rumah terlibat dengan pemasangan paip bagi projek BALB di seluruh negeri Kelantan.

“Bagaimanapun pengguna yang memohon untuk mendapatkan bekalan air melalui projek tersebut tidak berapa menggalakkan.

“Setakat ini anggaran sebanyak 5,000 buah rumah sahaja yang telah memohon dan menyambung bekalan air itu atau 25 peratus dari keseluruhan rumah yang terlibat dengan projek ini,” katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas AKSB telah membuat promosi sambungan baru bagi projek tersebut dengan kerjasama Jabatan Air Negeri Kelantan dan berjaya membuat sambungan baru kemasukan bekalan air ke 2,300 buah rumah.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa