Berita


Masalah bekalan air bakal diatasi
Sinar Harian, 9 Feb 2014

BACHOK: Masalah air yang membelenggu sebahagian penduduk Bachok dijangka dapat diatasi tidak lama lagi apabila telaga jejari di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha, Pasir Tumbuh siap sepenuhnya hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Utiliti, dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, apabila telaga jejari itu siap kelak ia dijangka mampu membekalkan air 30 juta liter sehari (Million Liter per Day- MLD).

Menurutnya, daripada jumlah itu, tiga MLD akan disalurkan ke tangki air Bukit Kecik untuk kegunaan penduduk Bachok.

“Beberapa kawasan di Bachok mengalami masalah air terutamanya di hujung penghantaran dan arahan sudah dikeluarkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin iaitu tidak lewat dari sebulan setengah daripada tarikh hari ini.

“Untuk jangka masa panjang, dijangkakan projek telaga jejari di Loji Rawatan Air Kampung Chap juga akan hujung tahun ini. Kini hanya kira-kira 10,000 akaun AKSB di Bachok iaitu 35 peratus daripada penduduk Bachok yang menggunakan perkhidmatan AKSB.

Masalah air berlaku apabila pertambahan penduduk setiap masa dan sebab itulah perkhidmatan air perlu dinaik taraf selari dengan pertambahan semasa penduduk,” katanya kepada Sinar Harian ketika melawat LRA Kampung Chap kelmarin.

Beliau berkata, lawatan itu adalah lawatan berjadual yang diadakan di seluruh negeri Kelantan bermula September lalu di daerah Pasir Mas. Dua buah daerah yang belum dilawati ialah Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Dalam lawatan itu Hanifa diberi taklimat mengenai permasalahan air di kawasan Bachok dan penerangan mengenai perancangan mengatasinya oleh kakitangan AKSB.

Hadir sama, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Adun Tawang, Hassan Mahmood.

Manakala, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir mengulas mengenai perkembangan tersebut amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah air penduduk Bachok.

Difahamkan, terdapat tiga paip air yang terlibat di Bachok iaitu Jabatan Air Negeri Kelantan yang menyediakan 5.3 kilometer paip, projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyediakan 25 kilometer dan AKSB sendiri menyediakan 6 kilometer paip untuk menyalurkan air bagi penduduk Bachok.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa