Berita

Dari HarakahDaily

KOTA BHARU, 30 Ogos: Pengerusi Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) mengagihkan sumbangan kuih raya kepada 120 orang pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Cawangan Kubang Kerian.

Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh isteri Menteri Besar, yang juga Pengerusi Purnama, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Kehadiran mereka disambut Penolong Pegawai Kanan Unit Jururawat Wan Norhimah Mahmood, Penolong Pengarah Perhubungan Awam HUSM, Ikmal Mathlan dan Penyelia Jururawat Norkiah Saud.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Pengerusi Purnama yang juga isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid serta anggota jawatankuasa Purnama yang lain.

Sumbangan itu yang merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri melibatkan tujuh wad hospital berkenaan termasuk wad wanita, bayi dan pesakit kronik.

Tuan Sabariah berkata, beliau yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana berkesempatan melawat pesakit-pesakit pelbagai kaum di wad berkenaan terbabit.

“Sumbangan tidak seberapa ini diharap dapat menceriakan semua pesakit terutamanya umat Islam yang terpaksa menerima rawatan di hospital pada Ramadan ini.

“Saya berharap pesakit yang ditempatkan di wad hospital ini cepat sembuh dan sabar dengan dugaan Allah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan itu.

Turut bersama rombongan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan Wan Ubaidah Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri.

Semua sumbangan itu diagih-agihkan secara bergilir-gilir oleh ahli rombongan di tujuh wad berkenaan.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa