Berita

BERITA_TERKINI

HUDUD: JANGAN BUAT KENYATAAN 28 SEPTEMBER
Berita dari HarakahDaily Online   

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Para Setiausaha Agung PAS, PKR dan DAP dikatakan sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan semua pimpinan parti masing-masing agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah 28 September ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendiriaan bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat 28 September nanti dalam mesyuarat mereka.

Sehubungan itu, satu sidang media akan dibuat jam 2 petang ini di Pejabat Agung PAS bagi memaklumkan arahan itu.


Sidang media ini dijadualkan akan diadakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Anthony mewakili Lim Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini berada di luar negara.

Isu Hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, Kelantan boleh melaksanakan undang-undang itu sekarang kerana beliau sudah tidak menjadi PM lagi.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan, kesemua pimpinan mereka yang ada akan meletakkan jawatan jika Pakatan Rakyat menjadikan agenda melaksanakan hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ini ekoran dari sokongan pribadi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaannya di Kelantan.

UNTUK ISLAM DAN KELANTAN SAHAJA

Sementara itu, pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau yakin undang-undang ini boleh dilaksanakan jika Umno sedia bekerjasama untuk melaksanakannya.

"Jika Umno menolak melakukan ini, maka PAS boleh mencanangkan perkara ini ke seluruh negara bagi mendedahkan tembelang sebenar Umno. Selama ini, Umno telah melakukan pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa mereka adalah pembela dan pejuang Islam yang sebenar. Antara contohnya, seperti serbuan gereja di Selangor, isu kepala lembu dan sebagainya," tulis Abdul Aziz.

Bagi beliau, PAS bersedia bertarung pada pilihan raya umum akan datang tanpa DAP. Mereka masih mempunyai PKR dan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mereka sendiri.

"Saya tidak pasti jika DAP, MCA dan Gerakan benar-benar mewakili masyarakat bukan Islam. Masalah dengan parti-parti Cina adalah kerana mereka berfikiran hudud tidak boleh diterima meskipun perlembagaan tidak menyatakan demikian," tulisnya.

"Golongan berkecuali atau atas pagar di kalangan masyarakat bukan Islam saya fikir adalah rasional, mereka tidak bimbang, khususnya selepas Tok Guru memberi jaminan bahawa hukum hudud akan hanya dilaksanakan di Kelantan dan untuk umat Islam sahaja," jelas beliau.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa