Sangka Baik

Sangka baik atau dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai Husnu Zon atau dalam Bahasa Inggerisnya positive thought atau good thought adalah sikap yang melestarikan kelurusan dalam sesebuah hubungan.

Seharusnya terlalu banyak sifat dan sikap yang dimasyhurkan oleh sarjana agamawan mahupun psikologi dalam memandu hubungan interpersonal dalam sesebuah komuniti. Dalam skop kecil PMBK kita sepatutnya tidak terkecuali.

Berikut merupakan catatan ringkas yang menjelaskan bagai kuasa sangka baik mampu diterjemah dengan sebuah perjalanan hidup entiti manusia yang cemerlang. Merangka idea reka mengguna kuasa minda untuk hidup bahagia;

Pertama: Dialog Abu Ayub Al Ansori dan Isteri Berkaitan Tuduhan Skandal terhadap Aisyah RA.

Saya bawakan dialog sebagaimana yang dirakamkan dalam hadis Al-ifki ketika Abu Ayub Al-Ansori berdialog dengan isterinya berkenan dengan perihal tuduhan pemuka munafik Abdullah Ubai yang dilemparkan ke atas Aisyah RA dan Safwan Bin Muattal RA menggunakan tajuk husnu zon sesama muslim.

Abu Ayub: Apa pandanganmu terhadap tuduhan tersebut?
Isteri: Sekiranya kamu berada dipihak Safwan (RA) apakah kamu tergamak untuk sekalipun bersangka jahat dengan isteri Rasulullah?
Abu Ayub: Tidak. Tentu sekali tidak.
Isteri: Dan sekiranya aku berada dipihak Aisyah nescya aku juga tidak akan mengkhianati Rasulullah. Sedangkan Aisyah (RA) lebih baik dari aku dan Safwan (RA) lebih baik dari kamu.
Abu Ayub: Ya. Benar fikiran mu.

Kedua: Sikap Lapang Dada dan Penting Orang Lain Lebih Diri Sendiri

Al-Imam Hasan Al Banna pernah menukilkan;

“Serendah-rendah tahap ukhuwah ialah berlapang dada manakala setinggi-tinggi martabat ukhuwah adalah mementingkan sahabat melebihi diri sendiri ” (Risalah Ta’alim Hasan Al-Banna)

Inilah ajaran yang disusun semula oleh Al-Imam berkaitan teori hidup bermasyarakat, yang diambil intipatinya daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Sikap lapang dada dengan setiap perkara yang muncul ekoran hubungan antara masyarakat dan perasaan mementingkan orang lain lebih dari kepentingan diri akan menjernihkan kekeruhan yang samada disengajaan atau tidak.

Ketiga: Contohi Prinsip Hajar, Isteri Nabi Ibrahim

Sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas maksud (KITAB Sahih Al-Bukhari) dan mafhumnya (penjelasan Ibnu Kathir dalam Fathul Bari), saya petik klausa yang menampakkan kehebatan wanita ini:

Maka hajar dan anaknya Ismail mengikut Ibrahim alaihimussalam sambil bertanya secara berulang kali:

Wahai suamiku Ibrahim, ke mana mahu kamu bawa kami? Apakah kamu mahu tinggalkan kami berdua di tempat yang tidak berpenghuni dan sahara kontang ini? Hajar merayu kepada Ibrahim AS berulang kali, namun langsung tidak dijawab oleh Ibrahim As.

Tanpa putus asa Hajar bertanya lagi: Apakah Allah yang memerintahkan kamu dengan hal begini?

Ibrahim menjawab sepatah: Ya (na’am).

Setelah mendengar jawapan suaminya itu, Hajar alaihassalam dengan penuh yakin berkata: “Jika begitu, nescaya Allah tidak akan mensia-siakan kita"

Itu kisah wanita bernama Hajar. Allah angkat ketokohan wanita yang patuh pada suami dan taatkan perintah Allah ini dengan memonumenkan perjalanan dan kesungguhan berlari-lari anak di antara safa dan Marwah sebagai rukun haji.

Ismail Alaihimassalam Dan Kisah Penyembelihan

Firman Allah Subhanuhu Wata’ala yang bermaksud:

“Maka setelah Anak itu (Ismail) telah mampu berdikari (sa’ya), berkatalah Ibrahim alaihissalam kepada anaknya Ismail:’Hai anakku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pandanganmu?’ Jawab Ismail alaihissalam: ‘wahai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan itu, nescaya kamu akan mendapati aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar”
(Al-soffat: ayat 101)

Kisah ini pastinya mengingatkan kita tentang kekuatan iman dan jiwa besar seorang hamba Allah SWT. Bagaimana sikap Husnu Zon yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail dengan merelakan perintah Allah dilaksanakan sekalipun menggadaikan nyawanya sendiri.

Inilah catatan yang mampu dibuat bagi mengingatkan kita tentang perilaku bersikap lapang dada dan tidak mementingkan diri sendiri dalam sesebuah hubungan. Semestinya idea ini mudah dilontarkan tetapi secara hidup realiti ia teori yang menyesakkan minda. Walau bagaimanapun teori hidup bermasyarakat ini perlulah diusahakan tindakannya. Semua tidak terkecuali.

Sekian.

Ust Muhammad Najid Abdullah
Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia
Perbadanan Menteri Besar Kelantan

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa