Menurut Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan (DHPPK), Lim Guan Seng, perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah 2 di Kelantan hanyalah melibatkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas tindakan Ketua DHPP Pusat, Hu Pang Chaw yang sering menimbulkan kekeliruan dalam menangani isu terutamanya melibatkan negeri Kelantan.

“Saya berharap beliau memahami dengan mendalam suasana Kelantan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana masyarakat bukan Islam di Kelantan lebih memahami hasrat kerajaan negeri,” ujar beliau.

Sementara itu, Penasihat DHPPK Jeff Lee berkata sudah sampai masanya pihak parti MCA diajak berdebat dalam soal perlaksanaan hukuman hudud ini.

Beliau ditemui di sidang media bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Dun Kota Lama semalam. Turut hadir ahli jawatankuasa DHPP Kelantan.

“Kami mencabar MCA yang selama ini sering mempolitikkan isu hudud sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar,sepatutnya mereka mengambil usaha datang mengunjungi kerajaan Kelantan seperti mana mereka mendapat penjelasan dalam isu judi dulu,” kata beliau.

MCA turut dicabar membawa seberapa ramai ahli maupun masyarakat luar untuk mendapat penjelasan terus dari Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kalau nak harapkan pihak rakan mereka dalam BN seperti umno sudah tentu lah mereka tidak akan mendapat maklumat tepat kerana umno sendiripun menentang perlaksanaan hukuman ini,” katanya lagi.

DHPP Kelantan juga mengecam sikap pimpinan MCA yang mempolitikkan isu ini dan menimbulkan rasa takut dalam masyarakat bukan Islam di Kelantan.

Menurut beliau lagi berdasarkan pengalaman masyarakat bukan Islam di Kelantan kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam semua dasar dan aktiviti kerajaan negeri.

Lee juga berkata masyarakat bukan Islam di Kelantan telah menerima penjelasan berkaitan enekmen Kanun Jenayah Syariah 2 sejak ia diluluskan pada tahun 1993 lagi, Cuma ia digembar gemburkan oleh pihak yang dengki dengan keharmonian masyarakat di Kelantan sahaja.

“Saya juga berharap selepas ini tidak akan berbangkit lagi soal terima atau tidak terhadap perlaksanaan hukum hudud kerana ia hanya untuk masyarakat Islam sahaja, mengapa kita perlu takut, adakah kita sering melakukan kesalahan seperti mencuri dan berzina itu, yang saya hairan lagi ialah orang umno yang mengaku Islam sendiri pulak yang menentangnya dan ini adalah semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya lagi.

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.