BERITA.BM.27.9

altPerkongsian pintar bina Lebuh Raya Rakyat    
Harakah Daily Online, Wan Nik Wan Yussof, 14 Sep 2013

KEPIMPINAN baru Negeri Kelantan hari ini merupakan penerus legasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob adalah tokoh yang tepat dinamakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan parti sehingga berjaya melakukan usaha terbaik sepanjang tempoh 100 hari pertama. Usaha yang penuh berkomitmen dalam memastikan kesemua tawaran pembangunan dalam ’manifesto’ pilihan raya umum ke-13 lalu menuju realiti.

Meskipun usaha itu berlaku dengan penuh cabaran, namun saf Ahli Exco Kerajaan Kelantan begitu bersemangat dalam membutirkan projek-projek yang bakal dijayakan di bawah portfolio masing-masing.  Konsep projeknya adalah penerusan agenda pembangunan berteraskan prinsip Membangun Bersama Islam. Penerusan prinsip ini telah diikuti dengan penetapan strategi setiap program menuju  sasaran sebenar.

Pelan pasca 100 hari

Sehubungan itu, kepimpinan baru Ustaz Dato’ Ahmad bertanggungjawab bagi memastikan visi pentadbiran Islam Kerajaan Negeri Kelantan yang diasaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dapat berjalan lancar. Justeru pemantapan misi siasah syariyyah diolah secara maqasid syariyyah di dalam semua bidang pembangunan Negeri Kelantan.  Ia bermaksud segala pertimbangan pembangunan adalah mengambil kira keupayaan sumber dalam memenuhi harapan rakyat yang inginkan kesejahteraan hidup.

Bagi melengkap pencapaian misi siasah tersebut, maka pada penghujung Ogos lalu Ustaz Dato’ Ahmad telah bersetuju untuk melaksanakan pelan pembangunan negeri berpandukan model Sistem Perancangan dan Pemantauan Projek Kelantan (S3PK).

Pelan ini merupakan pendekatan terkini Kerajaan Negeri Kelantan pasca 100 hari yang mengutamakan perkongsian kesungguhan menteri besarnya bersama-sama dengan semua Ahli Exco dan pegawai kanan demi kejayaan pelaksanaan tawaran pembangunan dalam masa lima tahun (2013-2018).

Apa yang pasti, Ustaz Dato’ Ahmad meletakkan harapan tinggi agar pelan pembangunan berpandukan model S3PK ini akan membutirkan projek-projek yang perlu diberi keutamaan. Di samping setiap projek itu akan dipantau agar spesifikasinya menepati petunjuk utama prestasi  (KPI) dalam menuju sasaran.

Model S3PK

Kandungan bagi model S3PK ini adalah rumusan daripada konsultasi rakan-rakan daripada Ikatan Intelektual Islam (ILMUAN) bersama Menteri Besar dan Ahli Exco Negeri Kelantan dalam rangka memenuhi harapan rakyat di sebalik mandat baru pada pilihan raya umum ke-13 lalu. Ia telah memuatkan empat peringkat pencernaan prinsip Membangun Bersama Islam ke arah memastikan pembangunan negeri menuju ‘Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan’ kepada semua lapisan rakyat.

Empat peringkat itu adalah bermula dengan pencernaan dasar dalam prinsip Membangun Bersama Islam sebagai teras perancangan. Diikuti dengan pemantapan enam strategi utama, iaitu (1) memperkasakan pembangunan rohani demi keberkatan dan keredaan Allah SWT, (2) memperjuangkan hak rakyat atas prinsip federalisme (perlembagaan), (3) melaksanakan keadilan untuk semua rakyat, (4) memakmurkan kehidupan yang harmoni dan berkebajikan, (5) pembangunan wanita dan anak muda Kelantan, dan (6) prasarana media dan perhubungan.

Kemudiannya, strategi itu perlu diterjemahkan dalam bentuk program-program, dan setiap program itu hendaklah diikuti dengan perancangan dan pelaksanaan projek. Di bawah agenda ini, terdapat enam program yang perlu dijayakan, iaitu (1) meningkatkan kemakmuran ekonomi rakyat, (2) memajukan sosiobudaya rakyat, (3) pembangunan tanah, wilayah dan hasil negeri, (4) meningkatkan mutu taraf hidup ke arah masyarakat madani, (5) meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam, dan (6) meningkatkan kebajikan rakyat.

Apabila projek-projek bagi setiap program itu dilaksanakan dengan berkesan, maka besarlah harapannya model S3PK ini akan mencapai ke peringkat keempat, iaitu mencapai empat sasaran utama; (1) peningkatan iman dan takwa di kalangan rakyat, (2) memenuhi tahap kepuasan rakyat, (3) memenuhi tuntutan sosial dan ekonomi rakyat, dan (4) melestarikan persekitaran kehidupan rakyat.

Cabaran utama

altWalau bagaimanapun, di sebalik komitmen untuk melaksanakan pembangunan berasaskan model S3PK, satu cabaran yang perlu dihadapi ialah memastikan beberapa projek tertangguh dan sedang berjalan dapat disiapkan dengan sempurna. Di antaranya pembinaan lebuh raya, stadium, tuntutan royalti minyak, pembangunan Tok Bali, Bandar Baru Tunjong, Bandar Baru Tunjong dan Lembah Sirih.

Selain itu, cabaran kepimpinan Ustaz Dato Ahmad lagi adalah memastikan sumber hasil dan kewangan negeri dapat diuruskan secara berhemat demi menyiapkan semua projek  tertangguh. Ini penting memandangkan Kelantan amat kaya dengan sumber yang dapat menjana pendapatan negeri. Pergantungan kepada hasil kayu balak sudah mengecil dan sampai masanya tumpuan pembangunan kepada sektor perladangan di kawasan yang telah ditebang balak.

Sementara itu, Kelantan dianugerahkan Allah dengan sumber mineral yang belum dimajukan secara berskala besar. Emas dan besi mampu menghasilkan pendapatan kepada negeri dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Ia seharusnya diprojeksikan secara perkongsian pintar demi memastikan pembangunan ladang dan sumber mineral  serta hartanah dapat dijadikan sandaran bagi menyiapkan projek-projek yang tertangguh.

Perkembangan baru, pihak Kerajaan Negeri Kelantan dikatakan sudah mengambil pendekatan perkongsian pintar untuk pembinaan lebuh raya yang berkonsepkan sandaran sumber yang ada (tanah untuk perladangan) untuk mendapatkan sejumlah kewangan bagi membiayai projek. Konsep yang sama dikatakan sedang diambil oleh Kerajaan Pulau Pinang, iaitu sedia menjadikan tanah dan konsesi tol sebagai sandaran bagi pembiayaan terowong dasar laut.

Hubungan dengan Pusat

Walau pun begitu, satu cabaran yang tidak boleh dipandang kecil adalah kesediaan menjalin hubungan dengan Kerajaan Pusat. Hal ini penting dalam memastikan pembiayaan projek dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri.  Perbezaan politik kepartian bukan penghalang untuk berbincang dalam isu-isu pembangunan demi manfaat rakyat.  Justeru hubungan erat (G to G) antara pihak Menteri Besar dengan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kerajaan Pusat sudah tentu akan memudahkan urusan yang melibatkan senarai tanggungjawab bersama. Di antaranya isu bekalan air bersih, menaik taraf lapangan terbang, pelabuhan, landasan berkembar keretapi, pembikinan jalan-jalan persekutuan atau lebuh raya, dan penyediaan pelbagai prasarana bagi meningkat hasil cukai kepada Kerajaan Pusat atau Negeri amat wajar didiskusikan secara berkala.

Oleh kerana itu, kepimpinan baru Kerajaan Negeri Kelantan masa kini sedia mengambil tugas dan tanggungjawab besar ini secara berhemat demi memenuhi mandat rakyat.  Justeru kesediaan ini bakal dipikul oleh Menteri Besar, Ustaz Dato Ahmad bersama-sama saf exconya. Ia suatu langkah proaktif dalam memastikan pembangunan berasaskan model S3PK berjalan lancar dan rakyat sedia mendapat limpahan nikmat.  Semoga Allah memberikan kekuatan dan petunjuk ke jalan kejayaan dalam merealisasikan pembangunan negeri menurut prinsip Membangun Bersama Islam.