News_Banner_Berita_Terkini
Rakyat digalak bertani: MB
Sinar Harian Online | Rosmiza Kasim

KOTA BHARU, 6 JUN: Kerajaan Negeri menggalakkan rakyat di Kelantan terlibat secara aktif dalam pertanian termasuk penanaman secara organik.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, itu adalah untuk memastikan hasrat kerajaan menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan pada tahun 2015 menjadi kenyataan.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk menggalakkan aktiviti pertanian di negeri ini termasuk RM500,00 bagi pembiayaan baja-baja organik.


“Saya menggalakkan rakyat termasuk wanita di negeri ini untuk terlibat dengan pertanian dan saya tidak mahu melihat mereka ini melakukan pekerjaan yang tidak elok.

“Saya juga berhasrat untuk memastikan semua pertanian di Kelantan ini dapat menggunakan baja organik secara meluas kerana ia baik untuk kesihatan dan memberi manfaat kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Ekspo Pertanian Kelantan 2012 yang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi dan hampir 3,000 orang membanjiri hari pertama ekspo tersebut.

Nik Aziz berkata, hasrat kerajaan mendapat kerjasama daripada Kerajaan Thailand untuk memberi bantuan baja organik dapat mengembangkan lagi hasil produk pertanian yang sihat tersebut.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, beliau berusaha untuk memastikan hasrat itu dapat dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan juga negeri ini dalam pelbagai aspek.

Orang ramai dijemput menghadiri ekspo yang berakhir 10 Jun ini bagi mendapatkan pelbagai produk mahupun maklumat berkaitan pertanian.