Terciptanya ‘Tip Top’ Untuk Mu

 

Saya terpandang tulisan “tip-top” dicoretan buku catatan lama. Setahun yang lepas. Terimbas peristiwa bagaimana seorang staf lelaki muda di pejabat lama yang masih bujang menyebutnya secara tersasul di depan saya buat kali pertama apabila saya tanyakan perihal staf perempuan yang baru masuk.

 

“Macam mana staf baru Jat?” Sapa saya biasa.

 

“Tip top ustaz”, sambil menaikkan ibu jari. Saya senyum sendirian. Dia juga tersipu malu meninggalkan saya yang masih tersenyum.

 

Simbol ibu jari itu saya faham. Perkataan “Tip top” yang diguna menjawab soalan saya agak kabur dalam fikiran. Tanpa penjelasan, senyum staf lelaki muda ini saya simpulkan dengan maksud staf perempuan muda itu cantik dan menawan. Walhal saya bertanyakan soal kerja dan kebolehan. Saya yang juga pernah muda remaja cepat faham apa yang tersirat mahu disampaikan. Cuma penggunaan bahasa anak-anak muda trend terkini agak janggal pada otak tua saya ini. Barangkali itulah hakikatnya.

 

Lalu munculnya istilah-istilah baru ciptaan anak-anak muda yang pelbagai hari ini adalah perkara biasa yang berkaitan hubungan personal antara gender. Tarikan kuat gender ini dibentengi sempadan mengikut neraca agama.

 

Lantas hakikatnya telah tercipta Hawa melengkapkan Adam yang kesunyian. Memenuhi fitrah kemanusiaan dan naluri insan. Islam tidak pernah menyeka dan menutup fitrah. Jauh sekali menidakkan naluri yang cipta Tuhan.

 

Islam datang dengan memandu dan memberi jalan penyelesaian agar umat tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Melestraikan model-model perlanggaran batas pergaulan berlainan gender dalam bentuk klasik-tradisi mahupun stylo-moden adalah suatu keperluan bagi memudahkan kefahaman. Harapnya begitu.

 

1. Berdua-duan

 

Duduk berdua di dimana-mana tempat dengan alasan yang pelbagai. Lebih parah lagi berdua-duaan ditempat tersembunyi. Walaupun kebanyakan dari kita tidak mempedulikan tindakan sebegini kerana menganggap ia adalah atas urusan kerja, namun apapun alasannya, menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.

 

2. Jalinan maya Facebook / Twitter

 

Hubungan maya seolah menjadi kewajipan tanpa mengira status dan perkiraan umur. Hubungan yang merentasi lautan dan gunung ganang ini dilihat candu yang sedang merebak barah dalam jalinan hubungan manusia hari ini. Pro dan kotra berlegar seputar teknologi tanpa sempadan dan ia dilihat sebagai penyumbang kepada kemajuan sesebuah tamadun bangsa.

 

Pada masa yang sama juga menjadi episod duka dalam hubungan tidak terbataskan diantara lelaki dan perempuan. Tempat menjadi perhimpunan khalayak manusia tanpa mengira jantina, bangsa, negara dan agama.

 

Sisi negatif yang melingkar hubungan maya tanpa sempadan menjadi mimpi ngeri dalam perhubungan sosial antara lelaki dan perempuan yang dibatas agama. Bermanja-manjaan, mempamer gambar beraksi eksotik dan menggoda antara satu sama lain dan ayat-ayat manja via status yang ‘plastic’ sifatnya amatlah mengghairahkan.

 

Hubungan tidak terbataskan ini mengundang padah hingga membawa kepada perlanggaran syariat. “Bertemu di ‘muka buku’, ku jatuh hati padamu…”, barangkali hanyalah bait lagu. Namun ia adalah reality pergaulan moden hari ini yang jika berlebihan akan mengundang kerosakan sosial pergaulan lelaki dan perempuan. Kita masih boleh melayar sosial alammaya namun letakkan sedikit sempadan agama dalam setiap status, komen, like, share, tag dan apa jua upload.

 

3. Gurauan Ghairah

 

Telah menjadi kebiasaan kita untuk berseloroh antara lelaki dan perempuan. Sehinggakan kita terlupa bahawa gurauan yang keterlaluan hingga berlaku sentuhan atau gurauan lucah hingga ke tempat sulit. Tanpa segan silu si lelaki mencuit dagu atau menjamah tangan perempuan. Ini adalah salah laku yang benar-benar meruntuhkan maruah seorang perempuan. Ia jarang berlaku tapi perlu sentiasa diingatkan.

 

Bergurau-seloroh masih dibenarkan dalam sosial hidup bermasyarakat. Bukanlah maksud Islam mengharamkan komunikasi antara lelaki dan perempuan. Ia masih boleh berlaku seperti biasa namun dalam ruang batas yang telah digariskan.

 

Cermat dalam hubungan interpersonal dan komunikasi harian antara berlainan gender adalah dituntut. Hiduplah dalam kerangka agama. Mesra dan ramah pastinya menyenangkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita namun sebagai muslim tunjukkan lah contoh teladan yang baik agar Islam dilihat sempurna memenuhi fitrah manusia. Rahmat bagi seluruh alam.

 

Lalu kita hari ini bagaimana?

 

Demi maruah insan, perintah agama, adat budaya dan keselamatan institusi keluarga, masyarakat dan norma agama, sayugialah model-model ini diangkat sebagai peringatan buat mereka yang alpa.

 

Nah, tercipta Hawa melengkapkan Adam yang kesunyia dan disyariatkan “Akad” menghalalkan hubungan. Menyelamatkan manusia dari fitnah nafsu serakah yang nikmatnya seketika, derita berpanjangan.

 

Gurauan “Tip Top” yang diangkat ibu jari seharusnya dilandaskan dengan panduan yang membawa kita ke jalan bahagia di Akhirat sana. Tiada siapa yang mampu menjadi sempurna, juga tidak ada manusia yang boleh menjamin diri “confirm masuk Syurga” kecuali mereka yang telah diiktiraf secara personl oleh Nabi SAW.

 

Apa pun kita hari ini diberikan panduan dan petunjuk sejahtera memasuki Syurga. Pilihan dalam konteks ini adalah dileluasa atas akal fikiran, sukma nurani yang telah Allah anugerahkan bercahayakan petunjuk Ilahi, dipanggil ilmu. Itulah beza manusia dan haiwan.

 

“Allah bersumpah ‘demi detik masa’. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan berusaha sepenuh jiwa-jasad melakukan kebaikan. Tugasnya menegur atas nama kebenaran dan sabar atas reaksi yang bakal muncul dari teguran.” (Surah Al-Asr)

 

Sekian.

 

MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia

24 Zulkaedah 1434 /30 September 2013

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.