Sempena musim durian pada tahun ini, PMBK turut mengambil peluang dengan mengadakan Majlis Makan Pulut Durian yang bertempat di parkir kereta Bangunan PMBK, pada hari khamis 19 Rejab 1430H bersamaan 9 Julai 2009.

Majlis ini telah dihadiri oleh YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Pengerusi PMBK bersama isteri Datin Sabariah dan anaknya Nik Salsabila.

Majlis ini adalah cetusan ilham oleh YABrs Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman iaitu Pegawai Operasi Kumpulan PMBK. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri dan juga anak-anak beliau.

Dianggarkan kira-kira 300 orang tetamu hadir ke majlis ini yang mana turut melibatkan anak-anak syarikat PMBK iaitu, Darul Digital Multimedia Solution (DD), Kifaalah, PMBK Sawit dan juga Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Majlis ini juga turut mengundang semua kakitangan di Bangunan PMBK termasuk Kelkon Sdn Bhd dan juga Bank Muamalat Bhd.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kakitangan PMBK dan anak-anak syarikat PMBK termasuklah para pelanggan mereka yang datang berurusan pada hari tersebut. Majlis yang bermula pada pukul 3 petang ini telah berakhir pada jam 6.30 petang.