AKTIVITI.BM.27.9

baiduri.dcy“Baiduri Abad Ini” - Datin Bentara Setia Hjh Tuan Sabariah Tuan Ishak

Oleh: Zanazanzaly, 9 Jun 2013

 

Di kala pipi mulusmu kepijaran

dilanda sebak ombak dugaan

Istighfarmu tenang mengempang genang.

 

Sabarmu faham akan erti menjadi suri pejuang

Tabahmu hadam akan fungsi pendamping khalifah Tuhan

Redhamu enggan membiarkan hatimu bersedih

Tawakkalmu menyurih kemilau hebat tanda kasih.

Justeru cintamu fasih bertasbih

Menghitung percaturan Zat Maha Sahih

Ilahi mengganjari hamba terpilih

dengan ujian maha pedih.

 

Lelah suami dikau hampari ribaan manja

Tegasnya dikau jadikan alas setia

Tawadduknya dikau gilap jadikan permata

Bersinar azimat buat mendidik zuriat tercinta.

 

Sering dikau berkongsi buah hikmah

Syurga itu indah namun jalan ke sana bukanlah mudah

Tiada dihiasi nikmat melimpah

Kecuali tribulasi dan mehnah nan payah

Dan tak kunjung sudah.

 

Mohon dikau pinjamkan selendang semangatmu duhai bonda

Sebagai azimat buat kami terbang sehabis daya

Mengibarkan sutera amanat srikandi abad nan tegar

Tiada gentar melainkan berikhtiar.