AKTIVITI.BM.27.9

IMG 1303 copyPenaung CEMPAKA Diraikan - Jasamu dikenang, Budimu disanjung
Oleh: Zuraidah Hussin, 9 Jun 2013

KOTA BHARU: Buat julung kalinya Kelab Muslimat PMBK (CEMPAKA) mencatat kenangan manis dengan penganjuran Majlis Hi-Tea pada 30 Rejab 1434H bersamaan 9 Jun 2013. Majlis ini merupakan ekspresi penghargaan kepada Mantan Penaung Kelab CEMPAKA iaitu Datin Bentara Setia Tuan Sabariah Tuan Ishak yang berundur berikutan pertukaran pucuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan yang baharu.

Majlis yang diadakan dengan jayanya di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan telah diserikan dengan kehadiran Datin Siti Zabidah Abd Hamid selaku isteri Dato’Menteri Besar iaitu Datin Hasmani Hussin, isteri Dato’ Timbalan Menteri Besar, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Hjh Mumtaz Nawi, Wan Ubaidah Omar dan Rohani Ibrahim serta tidak ketinggalan isteri Ketua Pegawai Operasi PMBK, Dr Nik Azimah Nik Hassan. Kesemua ahli Kelab CEMPAKA yang terdiri daripada warga muslimat PMBK dan anak-anak syarikat turut hadir memeriahkan majlis yang amat bermakna itu.

Sebuah puisi khas berjudul Baiduri Abad Ini (Dedikasi Buat Datin Bentara Setia Hjh Tuan Sabariah Tuan Ishak) nukilan dan dideklamasikan oleh Zanazanzaly memacu majlis penghargaan tersebut ke kemuncak acara iaitu sesi tayangan montaj yang memaparkan penglibatan mantan penaung dalam aktiviti Kelab CEMPAKA.

hadiah.dcyKelab CEMPAKA telah ditubuhkan pada 2009 dan telah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan menetapkan di dalam Undang-Undang Tubuhnya bahawa isteri Menteri Besar Kerajaan Negeri adalah sebagai Penaung Kelab. Sehubungan dengan itu, setelah bertukar Menteri Besar Kelantan, maka Penaung Kelab CEMPAKA juga akan turut berganti.

Dalam usia setahun jagung, CEMPAKA telah menitip pengalaman dan nasihat daripada Penaung Datin Tuan Sabariah dalam usaha penambahbaikan CEMPAKA sebagai satu wadah yang berfungsi untuk mendekatkan PMBK dengan masyarakat khususnya kaum wanita/muslimat. Di dalam ucapan alu-aluan, Presiden CEMPAKA sesi 2011/2013, Zuraidah Mohd Hussin telah merakamkan ucapan terima kasih di atas segala sumbangan buah fikiran dan tenaga dalam menjayakan program-program yang diatur oleh CEMPAKA. Sementara itu, Penaung Kelab CEMPAKA yang baru iaitu Datin Siti Zabidah juga mengharapkan satu kerjasama dapat dijalin oleh Kelab CEMPAKA dengan lain-lain NGO wanita/muslimat di negeri Kelantan seperti PUSPANITA, KEKWA dan lain-lain lagi.

Majlis tersebut berakhir dengan penyampaian cenderamata tanda kenangan kepada Datin Tuan Sabariah di atas jasa dan penglibatan beliau dalam kelab CEMPAKA selaku  Penaung, dan disusuli dengan solat Asar berjemaah yang diimamkan oleh Datin Tuan Sabariah di Royal Lounge, Hotel Perdana sesudah menjamu selera.