Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Marilah sama-sama kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua dapatlah saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini bagi persidangan kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kedua belas.

Saya juga ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya Kerajaan Negeri Kelantan telah dapat melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan ujian terutamanya dari segi kewangan. Alhamdulillah,  kita masih dapat mengharunginya dengan sabar. Pulau kesejahteraan yang selama ini menjadi impian kita, semakin hari semakin jelas terbayang, berkat istiqomah semua pihak.   Marilah kita terus berdoa agar segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita akan berkekalan malah bertambah lagi di tahun-tahun yang akan datang.

Kepada seluruh rakyat negeri ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan atas segala sokongan dan dokongan yang telah diberikan selama ini. Kerajaan amat menghargai semangat bersama yang telah ditunjukkan oleh rakyat jelata sekalian dalam membangunkan Negeri Kelantan yang sama-sama kita cintai ini.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sekali lagi memperbaharui azam bagi menyumbang khidmat yang terbaik, demi memikul amanah Allah serta melaksanakan harapan rakyat dan tanggungjawab ummah. Marilah kita sama-sama berbincang dan berbahas sesuatu isu dengan penuh tertib dan adab susila, serta memberi cadangan-cadangan yang bernas bagi memajukan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Kuat pohon kerana akar,

Kuat akar kerana tanah,

Kuat burung kerana sayap,

Kuat ketam kerana sepit,

Kuat  lilit  kerana  simpul.

Kuat kita kerana muafakat.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta dan kewangan atau disebut sebagai ekonomi. Kegagalan mengurus dan merancang kewangan pada hakikatnya samalah dengan merancang untuk gagal. Ia boleh menjerumuskan seseorang kepada kehancuran. Dalam konteks sebuah negeri atau negara, gagal merancang ekonomi dengan baik boleh mengakibatkan negara berdepan dengan masalah inflasi, pengangguran, kenaikan harga barang dan seterusnya menuju ke arah muflis dan bangkrap.

Di dalam Islam, kita membaca bagaimana seorang tokoh kewangan yang terbilang bertaraf Nabi yang dirakamkan kisahnya di dalam al-Quran iaitu Nabi Yusuf alaihissalam. Al-Quran menukilkan bagaimana perancangan bijak Nabi Yusuf selaku Menteri Kewangan Mesir pada zamannya telah menyelamatkan Mesir dari krisis makanan akibat dari kemarau yang panjang iaitu selama tujuh tahun. Namun dengan perancangan ekonomi yang telah dilakukan tujuh tahun sebelumnya, Nabi Yusuf berjaya membantu Mesir menghadapi krisis makanan tersebut dengan jayanya.

Selain daripada mukjizat Nabi Yusuf yang diberikan kelebihan menafsirkan mimpi, kejayaan baginda juga dibantu oleh pengurusan sumber dan pembahagian kek ekonomi dengan adil dan saksama serta memastikan golongan yang berhak menerima bantuan terbela. Justeru, jika hanya perancangan sahaja yang baik tetapi tidak diikuti dengan pelaksanaan yang efisien, perancangan yang baik hanya tinggal angka dan data di atas kertas sahaja.

Mengambil ruh dan semangat dari pengurusan kewangan Nabi Yusuf itulah, Bajet Kerajaan Negeri pada kali ini akan bersifat amat berhati-hati,cermat  dan berhemat serta benar-benar bersifat fokus ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Pada keseluruhannya, prospek ekonomi Negeri Kelantan bagi tahun 2011 dijangka akan terus kekal sederhana. Walaupun demikian, sektor-sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan dijangka masih mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dengan sokongan pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang tinggi serta pertumbuhan dalam industri pelancongan dan kewangan.

TEMA BAJET 2012

Tema Bajet Tahun 2012 adalah “Kesejahteraan Bersama Keberkatan”. Tema ini menggambarkan hasrat Kerajaan untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat Kelantan keseluruhannya. Dalam masa yang sama, kita berikhtiar agar segala gerak kerja yang dilakukan di dalam berbelanja tidak melanggar syariat Allah SWT serta mendapat keberkatan daripadaNya. Sesungguhnya, keberkatan daripada Allah SWT hanya akan diperolehi apabila penduduk di sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Ini selaras dengan firman Allah SWT sebagaimana yang dipetik di dalam muqaddimah ucapan.

Belanjawan yang dibentangkan pada hari ini berdasarkan kepada hasil sumber sebenar Negeri bagi memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat dengan cara memberi tumpuan kepada teras berikut:-

Pertama    : Penjanaan ekonomi untuk semua rakyat;

Kedua        : Pembinaan Insan yang berteraskan Islam;

Ketiga        : Pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas dan mereka yang memerlukan.

Berasaskan kepada tema tersebut, Bajet 2012 akan terus berpaksikan kepada strategi-strategi berikut :

a) Memastikan hasil dan tunggakan hasil Kerajaan Negeri dapat dipungut untuk pembangunan Negeri bagi kesejahteraan rakyat dengan memantapkan jentera kutipan hasil melalui pemantauan berjadual dan penguatkuasaan secara berterusan untuk menambahkan hasil negeri.

b) Memberi tumpuan untuk merancakkan ekonomi dan taraf hidup rakyat dalam memberi fokus kepada semua aspek pembangunan negeri untuk mengurangkan keadaan ketidakseimbangan sosioekonomi, terutamanya bagi memastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar.

c) Memastikan dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan benar-benar dibelanjakan mengikut keperluan dan keutamaan sebenar untuk manfaat rakyat dan setiap projek yang bakal dilaksanakan dinilai dengan terperinci bagi mengelak ketirisan perbelanjaan.

d) Memastikan kesejahteraan rakyat dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat di bandar dan luar bandar terbela untuk membendung gejala-gejala sosial yang semakin berleluasa pada masa kini dengan mengimbangi  pembangunan fizikal dan rohani dalam kerangka  pembangunan insan yang komprohensif serta menyeluruh.

e) Memastikan kemudahan infrastruktur asas terus berkembang dan diselenggara bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan kebajikan rakyat selaras dengan hasrat untuk melahirkan Negeri Kelantan sebagai Negeri Berkebajikan.

f) Mewujudkan urustadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan Ubudi’yyah, Mas’ulliyyah dan Itqan.

TERAS PERTAMA : PENJANAAN EKONOMI UNTUK SEMUA RAKYAT

Pembangunan Infrastruktur Asas

Untuk tahun 2012 Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan dengan memberi lebih tumpuan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Ini meliputi program dan projek-projek pembangunan yang berorientasikan pengurangan beban kos sara hidup, terutama sekali ke atas golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik. Selaras dengan itu program sosioekonomi untuk meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup melalui penggubalan strategi dan program yang lebih jitu akan diusahakan. Tidak dapat tidak, Bajet 2012 akan diiringi dengan kesungguhan untuk melaksanakannya secara berkesan. Untuk itu, sejumlah RM 67.06 Juta telah diperuntukan di bawah program penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat.

Program pembangunan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat akan tetap menjadi pilihan utama Kerajaan.Ini kerana kita cukup yakin, pembangunan infrastruktur akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan inter-sektoral dan boleh mencetuskan pelbagai “forward and backward linkages” (dengan izin Yang Berhormat Dato’ Speaker). Ini termasuklah seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur pembinaan jalan dan jambatan baru bagi mempertingkatkan lagi keselamatan disamping memperluaskan sistem rangkaian jalan. Contohnya pada tahun 2012, sebanyak RM 29.65 Juta disediakan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri untuk melaksanakan projek dibawah program kesejahteraan rakyat.

Bagi tahun 2011, diantara projek yang sedang giat disiapkan oleh Jabatan Kerjaraya Negeri (JKR) ialah Pembinaan Jambatan Merentasi Sungai Kemasin di Pengkalan China, Bachok Kelantan yang dianggarkan sebanyak RM2.6 Juta, Pembinaan Jambatan Kampung Tok Din, Pasir Puteh dengan anggaran kos sebanyak RM2.0 Juta dan Pembinaan Jambatan Lapan Pari bagi menggantikan yang sediada di Kampung Lapan Pari, Tok Sadang, Kota Bharu dengan anggaran RM2.8 Juta. Projek ini akan terus diberi keutamaan dan disambung ke tahun 2012.

Manakala projek yang telah berjaya disiapkan pada tahun 2011 ialah sistem rangkaian dan kemudahan jalan raya – Pembinaan Jalan Raya Bertingkat Merentasi Laluan Rel Keretapi dalam Bandar Pasir Mas yang telah menelan belanja sebanyak RM29.61 Juta termasuk kos pengambilan balik tanah terlibat yang berjumlah RM14.05 Juta. Ia dilaksanakan bagi melancarkan lagi perjalanan dan bagi menggelakkan kemalangan serta kesesakan lalu lintas. Jika tidak dipecahkan ruyong, masakan boleh kita dapatkan sagunya .Ini membuktikan “Kelantan boleh” YB. Dato’ Speaker dan sememangnya kita boleh !

Di antara program pembangunan jalan dan jambatan yang akan terus diberi keutamaan dan disambung ke tahun 2012 dengan tambahan perancangan dan pelaksanaan projek baru ialah cadangan Jalan & Jambatan Merentasi Landasan Keretapi di Bandar Pasir Mas, Kelantan (Fasa II) yang dianggarkan berjumlah RM4.8 Juta. Menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri pula, sebanyak RM800 Ribu disediakan bagi program pembinaan jambatan dan lintasan dan sebuah jambatan baru akan dibina bagi menggantikan jambatan lama di Pulau Kundor, Kota Bharu. Ia dijangka akan disiapkan pada penghujung tahun 2012.

Di samping itu, Kerajaan juga akan terus memastikan kebajikan rakyat dalam melaksanakan program-program menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian di seluruh negeri ini berjalan lancar. Ini termasuklah sebanyak RM12.0 Juta diperuntukkan bagi pembinaan dan menaiktaraf jalan-jalan kampung, RM4.0 Juta untuk jalan-jalan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, RM500 Ribu untuk Penyelenggaraan Jalan Pertanian, RM300 Ribu lagi untuk pembinaan Jalan-Jalan di Kawasan Industri dan RM200 Ribu pula untuk Penyelenggaraan Jalan Penguasa-Penguasa Tempatan dan sebanyak RM1.0 Juta diperuntukkan bagi Penyelenggaraan Longkang dan Parit serta RM100 Ribu untuk Rancangan Perlongkangan Pekan-Pekan.

Selain itu, kerajaan juga sedang serius untuk menimbangkan pembinaan lebuhraya daripada Kota Bharu ke Kuala Krai melalui  kerjasama dengan pihak swasta. Ini berikutan sikap kerajaan pusat yang dilihat tidak serius di dalam memenuhi keperluan rakyat Kelantan yang semakin mendesak  termasuklah menafikan keperluan projek ini di dalam Rancangan Malaysia ke 9 dan ke 10. Justeru, cadangan membina Lebuhraya sepanjang 63 kilometer ini sedang diteliti untuk dilaksanakan. Untuk makluman, setakat ini kita sudah menerima banyak permohonan pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan projek ini. Dengan izin Allah, kita yakin tidak mustahil ia dapat direalisasikan sekalipun tidak mendapat kerjasama dari kerajaan pusat. Jika tuan tidak sudi, apa guna kami meminang.

Kerajaan juga sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat bagi memastikan semua rakyat dapat sama-sama menikmati sumber bekalan air yang bersih bagi menjalankan ibadah dan rutin harian. Sejajar dengan itu, pihak Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) sentiasa diingatkan untuk mengambil tindakan lebih proaktif bagi memastikan semua projek yang diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual. Di sini, Kerajaan  ingin merakamkan ucapan tahniah kepada AKSB kerana sepanjang tempoh rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah berakhir pada tahun 2010, AKSB telah berjaya menyiapkan empat (4) projek utama iaitu, Projek Skim Bekalan Air Lojing yang berjumlah RM10.91 Juta, Projek Bekalan Air Jeli, Kelantan berjumlah RM26.58 Juta, Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Loji-loji dan Tangki Air Negeri Kelantan di Loji Rawatan Air Tanah Merah dan di Loji Rawatan Air Tanah Merah berjumlah RM27.70 Juta dan Projek Cadangan Membentuk dan Menyiapkan Projek GIS Bagi Sistem Bekalan Air berjumlah RM5.5 Juta. Ini adalah antara bukti kesungguhan kerajaan melalui AKSB bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan seperti perancangan demi kesejahteraan rakyat. Pada tahun 2012, AKSB akan terus berusaha untuk menyiapkan beberapa projek yang sedang dalam pelaksaan iaitu projek Kerja Kajian dan Pelaksanaan Program NRW Seluruh Negeri kelantan berjumlah RM129.88 Juta, Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Loji-loji dan Tangki Air Negeri Kelantan berjumlah RM52.46 Juta dan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air jajahan Gua Musang, Kelantan yang sedang dalam proses persediaan tender.

Selain dari peruntukan pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek-projek bekalan air, bagi kawasan kampung dan desa yang tidak diliputi oleh bekalan air di bawah Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dengan memperuntukkan sebanyak RM 1.0 Juta untuk melaksanakan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di samping bantuan untuk elektrik bagi rakyat miskin. Di bawah Jabatan Air Negeri juga, kerajaan  telah memperuntukkan sebanyak RM4.2 Juta untuk paip agihan dan kawalan sumber air bagi tujuan  membantu rakyat dikawasan perkampungan terpencil, mendapat sumber bekalan air yang bersih dengan adanya bantuan pemasangan paip-paip air daripada loji-loji air utama .

Sektor Pertanian

Sektor pertanian masih merupakan sektor terpenting dalam menjana ekonomi Negeri Kelantan. Oleh itu, bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian, Kerajaan akan terus memberi galakan dan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian termasuk dalam pengeluaran bahan makanan berkualiti.

Ini dilakukan melalui agensi-agensi, khususnya Jabatan Pertanian Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menyusun dan melaksanakan pelbagai program pembangunan secara lebih sistematik. Program pembangunan yang dirancang oleh Jabatan Pertanian yang berkesan akan meningkatkan pengeluaran hasil yang tinggi dan seterusnya memacu sektor pertanian ke arah pertumbuhan ekonomi Negara yang lebih baik. Untuk tujuan tersebut, antara program utama pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan dalam tahun RMK 10 ialah Pembangunan Industri Padi, Pembangunan Industri Buah-Buahan, Pembangunan Industri Pelbagai Komoditi, Pembangunan Industri Sayuran, Pembangunan Industri Kelapa, Pembangunan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan, dan Projek Latihan dan Pengembangan. Sejajar dengan ini, perkhidmatan pengembangan melalui pendekatan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) akan menjadi teras kepada sistem penyampaian dan pemindahan teknologi untuk meningkatkan daya pengeluaran yang lebih tinggi, berkualiti dan selamat digunakan.

Pada tahun 2012 sejumlah RM2.30 Juta diperuntukkan di bawah Jabatan Pertanian Negeri, disamping peruntukan prasarana yang berkaitan pertanian turut diperuntukkan dibawah lain-lain agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Pejabat Pembangunan Negeri. Program-program utama Jabatan Pertanian khususnya bagi pembangunan industri tanaman telah dilaksanakan secara berkelompok melibatkan keluasan 44,508 hektar tanah dengan bilangan peserta 35,851 orang dan dianggarkan mengeluarkan hasil sebanyak 10,000 metrik tan dengan nilai yang dianggarkan sebanyak RM100.00 Juta.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), Program Pembangunan Tanah Terbiar terus diberi penekanan iaitu bertujuan untuk memulihkan tanah terbiar di seluruh Negeri Kelantan dengan tanaman padi dan juga tanaman-tanaman lain seperti tembikai, sayur-sayuran, buah-buahan dan kelapa. Justeru itu,

Program Pembangunan Tanah Terbiar masih lagi diteruskan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar bagi tujuan pertanian untuk meningkatkan pengeluaran makanan yang berkualiti, menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan. Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan dari tahun 2005 hingga 2010, seluas 2,134 hektar tanah terbiar telah dipulihkan meliputi 768 hektar di tanam dengan tanaman padi dan 1,598 hektar dengan lain-lain tanaman. Bagi tahun 2011, seluas 63.60 hektar tanah terbiar telah dibangunkan dan bagi tahun 2012, dianggarkan sebanyak 100 hektar lagi tanah yang akan dibangunkan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar bagi tujuan pertanian.

Walaupun pengeluaran beras negeri telah mencukupi bagi keperluan dalam negeri dengan mencapai 155% Tahap Sara Diri (SSL), padi masih merupakan tanaman yang penting dan diberi keutamaan untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi di Negeri Kelantan bagi menyumbang ke arah mencapai Tahap Sara Diri (SSL) Negara kepada 86%. Pembangunan Industri Padi yang telah dirangka dalam RMK9 telah berjaya menyumbang ke arah merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara. Hasrat ini juga akan diteruskan dalam RMK10 dengan berlandaskan “Bertani Satu Ibadat” untuk mengurangkan pergantungan kepada import bahan makanan dari luar Negara. Pada tahun 2012 juga Kerajaan terus memperuntukan sebanyak RM2.0 Juta bagi penyediaan subsidi baja padi kepada para petani dibawah kawalan Pejabat Pembangunan Negeri dan termasuk sebanyak RM500 Ribu bagi subsidi baja organik. Sebanyak RM400 Ribu juga disediakan untuk program input pertanian, dan RM400 Ribu bagi program pertanian contoh dan galakan pertanian organik. Dengan terlaksananya pelbagai program pertanian yang berteraskan “Bertani Satu Ibadah”, produktiviti sektor pertanian akan insya’Allah, dapat ditingkatkan selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan sektor pertanian sebagai ejen pertumbuhan yang utama dan mampu merealisasikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Di samping projek-projek yang diusahakan oleh agensi Kerajaan, pihak swasta juga digalakkan untuk menjadi peneraju dan pemangkin dalam usaha mengkomersilkan sektor pertanian bagi mencapai matlamat menjadikan Negeri Kelantan sebagai pengeluar yang kompetitif bagi produk pertanian berkualiti tinggi, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa. Kerajaan juga berharap agensi-agensi Kerajaan seperti seperti Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK) dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) memainkan peranan yang lebih proaktif sebagai perintis kepada pelaburan yang besar dalam sektor pertanian disamping mempelbagaikan pengeluaran produknya.

Pembangunan Sektor Penternakan

Dalam pembangunan sektor penternakan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memberi penekanan dalam pembangunan sektor penternakan khususnya dalam penyediaan kemudahan dan galakan agar lebih banyak pihak melibatkan diri dalam pengeluaran ternakan di negeri ini. Pelan strategik pembangunan industri ternakan Negeri Kelantan telah dirumus menjelang tahun 2015 untuk meningkatkan hasil ternakan dalam negeri.

Pada tahun 2012, antara fokus utama Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk memacu sektor peternakan adalah melalui beberapa strategi seperti, transformasi usahawan ternakan yang berdaya maju kearah bidangusaha secara komersial, perladangan secara integrasi di kawasan-kawasan tanaman utama, penternakan secara intensif (fidlot), aplikasi bioteknologi dalam bidang penternakan bagi tujuan menjaga kebersihan ladang serta kualiti alam sekitar, meningkatkan kecekapan kos, dan kualiti hasil ternakan. Galakan amalan perladangan yang baik bukan sahaja mengambilkira keuntungan pengusaha tetapi juga kesejahteraan alam sekitar, kesejahteraan ternakan dan keselamatan pengguna. Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan menyediakan khidmat rundingcara dalam bidangusaha baru yang berpotensi seperti industri sarang burung walit. Kelantan kini muncul sebagai negeri kedua dalam pengeluaran sarang burung walit dengan anggaran sumbangan sebanyak 14% daripada keseluruhan nilai pengeluaran Malaysia yang dianggarkan bernilai RM1 Billion setahun.

Melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan melalui jabatan Perkhidmatan Veterinar, industri ternakan di Negeri Kelantan telah mencapai perkembangan dimana nilai pengeluaran hasil ternakan telah meningkat sebanyak lebih 1.65% iaitu dari RM334.21 Juta pada tahun 2010 kepada anggaran RM339.73 Juta pada tahun 2011 dan berdasarkan kepada kemajuan terkini, dianggarkan nilai pengeluaran hasil ternakan Negeri menjelang tahun 2012 akan terus meningkat sebanyak 4.81% iaitu dari RM339.73 Juta pada tahun 2011 kepada RM356.06 Juta pada tahun 2012.

Dalam membantu penternakan tradisional dan berskala kecil-kecilan, Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan pembangunan bagi melaksanakan rancangan untuk kesejahteraan rakyat. Dalam Bajet 2012, sebanyak RM1.95 Juta telah diperuntukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melaksanakan program-program seperti Rancangan Operasi Induk Anak Lembu, Rancangan Pemeliharaan Kambing dan Bebiri, Rancangan Pembakaan serta Rancangan Perintis Pemeliharaan Rusa dan Anika Ternakan termasuk peruntukan sebanyak RM950 Ribu bagi Rancangan Perkembangan Perusahaan Pedagingan untuk pembelian dan pengagihan sebanyak 590 ekor induk lembu dimana seekor lembu pawah akan diberikan kepada setiap penghulu untuk diagihkan kepada setiap mukim di Negeri Kelantan.

Kerajaan juga meneruskan penyediaan peruntukan sebanyak RM1.82 Juta untuk Program Bantuan Ternakan Lembu secara ‘fidlot’, Program Jihad Ternak dan Rancangan Perkembangan Perusahaan Lembu dan Kambing Tenusu, Program Pembelaan Rakyat Miskin untuk Galakan Pertanian dan Penternakan dan Program Hari Peladang Peringkat Negeri dan Kebangsaan bagi memberi pendedahan kepada industri penternakan demi  melahirkan lebih ramai penternak yang berjaya. Program-program ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran makanan dalam negeri disamping membantu golongan rakyat yang miskin.

Memacu Pembangunan Sektor Perikanan

Satu lagi sektor yang akan diberi perhatian oleh Kerajaan adalah sektor perikanan. Sektor ini memainkan peranan besar sebagai salah satu sektor penyumbang utama sumber protein dan makanan Negara. Di Negeri Kelantan, industri perikanan tangkapan menyumbang sebanyak 63.93 Ribu Metrik Tan yang bernilai RM231 Juta pada tahun 2010. Subsektor perikanan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 10,797 orang nelayan di Negeri Kelantan. Pada tahun 2010, sebanyak 2,330 vesel menangkap ikan dan 297 buah bagi vesel laut dalam telah dilesenkan. Sehingga kini, industri perikanan laut dalam akan terus dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan sumber perikanan di Negeri Kelantan. Kemudahan untuk industri Perikanan Laut Dalam, termasuk aktiviti hiliran dan huluan akan terus dipertingkatkan terutamanya di Taman perikanan Tok Bali.

Pengeluaran ikan makan di dalam industri akuakultur di Negeri Kelantan pada tahun 2010 adalah sebanyak 2.99 Ribu Metrik Tan dan dianggarkan ia akan meningkat pada akhir tahun 2011 kepada 3.14 Ribu Metrik Tan kerana terdapat pertambahan bilangan penternak di dalam industri ikan makan. Manakala industri ikan hiasan pula masih lagi baru di Negeri Kelantan dan sedang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penternak, pelabur dan juga peminat-peminat ikan hiasan. Pengeluaran sebanyak 216 Ribu ekor telah dicapai pada tahun 2010. Sektor ikan hiasan di Negeri Kelantan dijangka akan terus berkembang pada tahun 2011 dan 2012 dengan adanya galakan pelaburan serta bimbingan teknikal daripada Jabatan Perikanan. Secara keseluruhannya, sehingga tahun 2011 bilangan pengusaha industri akuakultur adalah seramai 1,471 orang yang berbanding 1,336 orang pada tahun 2010 yang mengusahakan pelbagai sistem ternakan akuakultur seperti sangkar, kolam, tangki dan lain-lain.

Keseluruhannya pembangunan sektor perikanan Negeri Kelantan banyak disokong oleh program-program yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri. Jabatan Perikanan Negeri akan terus memberikan bantuan pinjaman peralatan pemprosesan dan khidmat nasihat kepada usahawan baru dan sedia ada untuk menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha menceburi bidang ini dan seterusnya menggalakkan industri hiliran kearah lebih berdaya saing dan berdaya maju. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 ribu kepada Jabatan Perikanan Negeri bagi melaksanakan program-program seperti Perkhidmatan dan Galakan Teknologi Pengendalian Ikan, Galakan Pemindahan Teknologi Peralatan Perikanan, Projek Asuhan Benih Ikan Air Tawar, Pemulihan Spesis Ternakan Ikan Kelah, Ternakan Ikan Sangkar dan Pemulihan Semula Sangkar Terbiar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pembangunan Tukun Tiruan dan Projek Ternakan Lobster Air Tawar Negeri Kelantan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100 Ribu bagi Bantuan Nelayan Pantai/Sungai dan Akuakultur dan akan terus memastikan program bantuan pinjaman peralatan pemprosesan dan khidmat nasihat terus disediakan untuk menggalakkan lebih ramai peserta dapat menceburi bidang usahawan pemprosesan dan seterusnya menggalakkan perkembangan industri hiliran yang berdaya maju.

Pembangunan Usahawan

Bajet kali ini akan terus memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk melahirkan generasi usahawan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing. Ia diberikan penekanan dalam peruntukan yang lebih besar dengan harapan satu mekanisme pembinaan kumpulan usahawan kecil dan sederhana dapat dilakukan. Bagi menyokong hasrat kerajaan, bajet ini turut meliputi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menggalakkan aktiviti perniagaan.

Pada tahun 2012, sebanyak RM2.50 Juta diperuntukan di bawah Program Usahawan Berdikari berbanding RM2.0 Juta tahun 2011 yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan termasuk Program Galakan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Program Khas Siswazah, Skim Kerjaya Penganggur, Dana Belia Niaga dan Tabung Usahawan Wanita. Peruntukan bagi program jaringan pasaran desa dan industri desa juga telah diperuntukan dengan masing-masing berjumlah RM200 Ribu dan RM800 Ribu. Kerajaan juga akan sentiasa prihatin untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kawasan perniagaan seperti pasar/gerai serta membaiki atau menaiktaraf pasar-pasar sediada yang memerlukan penyelenggaraan dengan memperuntukan sejumlah RM2.0 juta dibawah kawalan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan bagi memastikan para usahawan dapat memasarkan hasil perniagaan mereka dengan mampan.

Pembangunan Sektor Pelancongan

Sektor pelancongan masih kekal sebagai sektor utama dalam menjanakan ekonomi Negeri Kelantan serta memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat tempatan. Sebagai contoh, pada tahun 2010, seramai 5.39 Juta berbanding 4.8 Juta dan 4.94 Juta orang pelancong pada tahun 2008 dan 2009 telah mengunjungi negeri ini yang menyumbang sebanyak RM1.80 Bilion kepada ekonomi negeri. Sehingga bulan Ogos 2011, seramai 3.35 Juta pelancong telah melawat Kelantan. Dari jumlah tersebut, 941,319 orang adalah pelancong antarabangsa.

Kerajaan juga telah bersetuju menjadikan tahun 2012 sebagai “Tahun Melawat Kelantan” bagi meningkatkan lagi kunjungan pelancong ke Negeri ini dan sekaligus meningkatkan pendapatan peniaga setempat. Justeru, kempen, promosi, pemasaran, pengiklanan dan program pelancongan perlu diperhebatkan lagi. Destinasi dan produk pelancongan samaada dibangunkan oleh kerajaan atau swasta perlu dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih sempurna.

Untuk itu, budaya penyenggaraan produk dan kemudahan pelancongan wajar dipupuk dan dipertingkatkan sebaiknya. Jentera pemasaran dan promosi juga akan diperkasakan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Negeri Kelantan. Sejajar dengan itu, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM2.5 Juta bagi Galakan Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan, Promosi dan Produk Pelancongan dan Pembangunan Seni dan Budaya.

Di samping program-program tahunan yang sedia ada seperti Permainan Tradisional, Kebudayaan dan Kesenian, Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir, Pesta Wau Antarabangsa serta Program-Program Penghayatan Ramadhan. Program-program seperti Karnival Seni dan Budaya dan Festival Batik, Songket dan Kraf, Pesta Joran, Pelancongan Jejak Pusaka, Pesta Air Dataran Sireh, Pesta Masakan Kelantan, kerajaan akan terus merancang program yang lebih menarik dan tersusun untuk menjadi salah satu pemangkin bagi tarikan lebih ramai pengunjung ke Negeri Kelantan. Kerajaan juga akan terus berkerjasama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dalam menganjurkan beberapa program yang boleh merancakkan lagi kunjungan pelancong ke negeri ini.

TERAS KEDUA : PEMBINAAN INSAN MELALUI ISLAM

Program memartabatkan agama Islam:

Sejajar dengan keadaan semasa dan tuntutan global, Kerajaan telah lama meyakini lagi memahami betapa pentingnya memiliki sumber manusia dan modal insan yang berkualiti tinggi. Berkualiti disini bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi turut mempunyai keperibadian dalaman yang tinggi. Ini menjadikan Pembangunan Kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek pembangunan rohani dan sahsiah. Untuk itu, kerajaan Negeri telah menyediakan beberapa peruntukan bagi mengadakan kursus, bengkel latihan, ceramah dan lain-lain bagi meningkatkan kualiti modal insan rakyat khususnya golongan muda.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan telah berjaya membina Masjid Kota Darulnaim, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra Rantau Panjang dan Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra Pulai Chondong dan Masjid Keputeraan Paloh 2, Gua Musang. Kerajaan juga dalam perancangan menyiapkan Masjid Keputeraan di Lojing yang dianggarkan sebanyak RM3.8 Juta.Ini termasuk juga perancangan untuk membina Masjid Sultan Muhammad V di Bandar Baru Tunjong. Masjid ini dijangka akan menjadi satu mercu tanda kepada rakyat Negeri Kelantan. Kejayaan-kejayaan ini akan  menydiakan medan yang banyak manfaat dan memberikan impak yang besar kepada masyarakat sekitar dari sudut pembinaan akhlak,adab dab sakhsiah . Selain daripada berfungsi sebagai pusat penyibaran ilmu,dakwah dan pelbagai aktiviti ibadat, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra Rantau Panjang juga berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan dan bakal menjana hasil tambahan kepada pendapatan negeri dan rakyat setempat. Sejajar dengan itu, sejumlah RM3.0 Juta disediakan bagi projek pembinaan dan pembaikian masjid-masjid di seluruh Negeri Kelantan bagi pembangunan modal insan generasi muda berasaskan pegangan sistem nilai Islam yang diterjemahkan kepada bentuk gaya hidup berkualiti, berwawasan dan bermasa depan. Masa depan di sini yang kita maksudkan ialah merujuk kepada perancangan untuk mencari kebahagiaan di dunia yang tidak menyalahi syari’ah demi kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Apa yang perlu ditakuti dan sama-sama dijauhi  adalah bahaya azab neraka yang disediakan kepada rakyat, lebih-lebih lagilah  pemimpin jika kita tersilap langkah dalam menentukan isi dan  halatuju sebuah pembangunan.

Ingatlah,

Todak menyerang Singapura

Habis dikerat cincang lumat

Bila khianat pada manusia

Dunia akhirat tidak selamat.

YB. Dato’ Speaker,

Menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, sebanyak RM5.57 Juta telah diperuntukan bagi menjalankan program-program berbentuk agama yang berterusan sepanjang tahun bagi menjamin kemaslahatan ummah Islam dan rakyat jelata pada amnya. Antara program-program yang bakal dijalankan adalah Program Dakwah, Penerbitan Bahan Dakwah, Kursus Pembangunan Keluarga, Kelas Akademik Al-quran, Kecemerlangan Solat, Membina Generasi Solat, Dakwah Orang Asli/Bukan Islam, Tahfiz Al-Quran, Perayaan Agama Islam dan Hijraturrasul, Ujian Tilawah Al-Quran, Pembangunan Islam Jajahan, Program Pembangunan Hududullah, Kursus Pra-perkahwinan, Bantuan Masjid Surau, Program Falak Syarie dan sebagainya.

Selain itu juga, Kerajaan akan terus melaksanakan program-program ke arah membudayakan Al-Quran sebagai satu prinsip yang seiring di antara pembangunan fizikal dan pembangunan kerohanian secara terancang dan mantap. Ia harus berkembang seluasnya merangkumi institusi masjid, surau, pejabat kerajaan, sekolah dan media dalam negeri.

Kerajaan percaya bahawa program-program pembangunan kerohanian yang bersistematik mampu mengimbangi dan menangani pengaruh gejala maksiat dikalangan remaja dan rakyat negeri ini. Program-program pengukuhan akidah diteruskan bagi membasmi mana-mana fahaman, ajaran dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerajaan juga akan terus memastikan pendidikan agama terus berkembang dan dengan pengemaskinian kurikulum, peningkatan pengetahuan dan kemahiran guru-guru serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran dibawah Yayasan Islam Kelantan. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menaikan peruntukan kepada RM72.0 Juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan, disamping RM2.0 Juta lagi bagi projek pembangunan baru, menaiktaraf dan menyelenggara bangunan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2.0 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) untuk pembangunan dan pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Kerajaan Negeri juga akan terus memberi penekanan bagi memastikan langkah-langkah penambahbaikan pentadbiran Agama Islam dilaksanakan secara tersusun dan mengikut perancangan yang ditetapkan dan kemudahan persekitaran kerja yang sempurna haruslah dititik beratkan. Pada tahun 2012, beberapa buah kompleks Islam baru akan dibina di Pasir Puteh dan Bachok yang dianggarkan kos pembinaanya masing-masing berjumlah RM2.60 Juta, begitu juga satu bangunan blok baru iaitu blok 8 di Kompleks Kota Darulnaim yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM25.00 Juta bakal dibina bermula pada tahun 2012. Kompleks Baru Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas yang diangarkan kos pembinaanya berjumlah RM14.81 Juta sedang rancak dibangunkan dan sehingga September 2011, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.71 Juta bagi bayaran interim kemajuan projek berkenaan . Pada tahun 2012 juga kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM3.0 Juta bagi program-program yang menjurus ke arah pembinaan Insan yang diperuntukan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri.

TERAS KETIGA : PEMBELAAN GOLONGAN DAIF DAN MISKIN, ORANG KURANG UPAYA, ARMALAH DAN WARGA EMAS

Masyarakat Penyayang :

Yang berhormat Dato Speaker,

Sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan dasar Membangun Bersama Islam, kita sentiasa berusaha untuk menjadikan kebajikan sebagai agenda utama di dalam setiap gerak kerja. Antaranya ialah menyalurkan bantuan kepada golongan miskin dan yang berpendapatan rendah atau disebut sebagai dhuafa'. Selain ia merupakan tanggungjawab kerajaan. kita meyakini janji Rasulullah SAW bahawa dengan menolong golongan dhuafa', ia akan meraih keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :

هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ

yang bermaksud : "Tidakkah kamu ditolong dan diberikan rezeki kerana golongan dhuafa' yang ada bersama kamu..?" - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Justeru, untuk tahun 2012, kerajaan terus menyediakan peruntukan bagi Pembelaan Rakyat Miskin sebanyak RM1.2 Juta, sebanyak RM1.0 Juta untuk Bantuan Bekalan Air dan Elektrik. Manakala sebanyak RM5.5 Juta Bantuan Rumah Dhuafat untuk membantu rakyat miskin membaiki dan membina rumah. Ini menyaksikan pertambahan peruntukan sebanyak RM800 ribu berbanding sebelumnya. Untuk Program Bantuan Beras yang dikenali sebagai Skim Al it’am, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 Juta,  manakala bagi program Gerbang Azziwaj iaitu bantuan menggadakan majlis perkahwinan untuk mereka yang kurang berkemampuan, RM2.0 Juta telah diperuntukkan. Untuk makluman, peruntukan bagi program Gerbang Azziwaj yang telah dimulakan pada tahun 2011 ini telah ditambah sebanyak setengah juta berbanding bajet pada tahun lepas.

Kerajaan Negeri juga akan terus memberi perhatian yang utama kepada golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, armalah dan warga emas. Oleh itu, Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan-peruntukan secukupnya untuk rakyat miskin dan yang memerlukannya. Dalam Bajet 2012, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Kerajaan turut meneruskan tradisi bagi membela golongan ARMALAH (wanita tanpa suami) dengan memperuntukkan sebanyak RM2.5 Juta, bantuan Anak Yatim sebanyak RM2.0 Juta, bantuan khas untuk orang miskin sebanyak RM1.0 Juta dan Bantuan Am (Bantuan Bulanan) sebanyak RM6.38 Juta. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sesuai dengan hasrat memupuk masyarakat penyayang, selari dengan tuntutan Islam kearah mewujudkan masyarakat dan negeri sejahtera dan Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan-peruntukan bagi tujuan pembelaan dan kesejahteraan rakyat.

Di dalam satu hadis, diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam rumahnya :

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

yang bermaksud : Ya Allah siapa yang menguasai sesuatu dari urusan umatku,lalu mempersukar kepada mereka,maka persukarlah baginya. Dan siapa yang mengurusi umatku lalu berlemah lembut pada mereka, maka permudahkanlah baginya. (Hadith riwayat Muslim).

Memahami ruh hadith ini, Kerajaan akan meneruskan program membantu kesihatan rakyat miskin yang menghidapi penyakit kronik dimana sejumlah peruntukan telah dinaikkan kepada RM1.0 Juta. Disamping itu, RM1.0 Juta lagi diperuntukan kepada orang kurang upaya (OKU) bagi membantu golongan-golongan tersebut dalam pelbagai aktiviti memajukan diri mereka melalui pelbagai bidang ekonomi dan kerjaya. Kerajaan juga menyediakan peruntukan khusus kepada Penjaga Pesakit di Hospital dimana sebanyak RM50.0 Ribu diperuntukan.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, Kerajaan juga tidak lupakan golongan belia dan akan terus melaksanakan program pembangunan belia yang bersesuaian dengan jiwa dan rohani mereka untuk melahirkan masyarakat, remaja dan belia yang sihat dan beriman serta mematuhi etika-etika sosial. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.0 Juta kepada aktiviti belia dan pembangunan sukan. Peruntukan ini membuktikan bahawa Kerajaan tidak sesekali mengabaikan pembangunan sukan di Negeri Kelantan. Ini kerana kita sedar yang minda yang sihat amat bergantung kepada tubuh badan yang sihat.

Bagi memenuhi tuntutan dan keperluan anak muda di samping menghargai sokongan yang padu daripada peminat-peminat sukan di negeri ini, Kerajaan juga ingin memaklumkan cadangan untuk membina sebuah Kompleks Sukan Negeri Kelantan dan Bandar Baru Red Warriors di atas tanah seluas 126 ekar di Mukim Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan. Untuk itu, kita sedang di peringkat menerima cadangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak swasta yang berminat.

Di samping itu, Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM150 Ribu dibawah Program Bantuan kepada Badan-Badan Sukarela, RM1.70 Juta disediakan bagi sumbangan untuk kebajikan orang Bukan Islam dan Orang Asli. Bajet 2012 juga tidak mengetepikan kebajikan dan keperihatinan kepada kaum wanita, sebanyak RM2.5 Juta diperuntukkan bagi sumbangan untuk Kebajikan dan Pembangunan Wanita, dan RM500 ribu untuk Program Latihan Belia dan wanita.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan dalam melaksanakan Program Perumahan Rakyat khususnya Program Perumahan Awam Kos Rendah dan Mampu Milik. Untuk tujuan tersebut, satu peruntukan berjumlah RM 4.0 Juta disediakan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan usaha-usaha membangunkan kemudahan perumahan awam kos rendah. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan mempertingkatkan lagi usaha bagi melaksanakan Program Usahasama dengan pemaju swasta dalam membangunkan kemudahan penempatan baru dengan memberi penekanan kepada perumahan kediaman mampu milik. Kerajaan amat menyedari masih ramai rakyat di negeri ini yang memerlukan kemudahan perumahan sedemikian rupa. Kerajaan juga menaruh harapan yang tinggi supaya Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri dalam penyediaan peruntukan bagi melaksanakan Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Mampu Milik sebagaimana yang disediakan kepada Kerajaan negeri lain sejak sekian lama.

Sektor perkhidmatan Awam dan Pentadbiran Berasaskan prinsip Keislaman:

Kerajaan Negeri sentiasa menghargai sokongan dan komitmen kakitangan sektor awam dan sumbangan mereka dalam mencapai matlamat pembangunan negeri. Kerajaan akan terus memastikan kebajikan dan keselesaan mereka terus diberi perhatian yang utama dan Kerajaan sentiasa yakin bahawa pegawai dan kakitangan awam negeri akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan cemerlang dan penuh tanggungjawab. Sebagai imbuhan awalan, Kerajaan Negeri bersetuju mengikuti sama langkah Kerajaan Persekutuan untuk membayar imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi sebanyak setengah bulan gaji atau minimun RM500.00 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri pada bulan Ogos 2011 dimana kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.12 Juta bagi tujuan tersebut tidak termasuk bayaran yang dibuat oleh agensi-agensi Negeri.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini sebagai menghargai komitmen berterusan penjawat awam yang telah menyokong kerajaan negeri Kelantan selama ini. Alhamdulillah, sekalipun dikata orang kantung kerajaan Kelantan kempis, kita tetap mampu memberikan penghargaan dalam bentuk bonus kepada kakitangan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada jentera pentadbiran negeri kerana pada pertengahan tahun 2011, boleh dikatakan semua jabatan pentadbiran Kerajaan Negeri telah mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-quran dan terjemahan bacaan di setiap pagi hari bekerja sebelum memulakan rutin pentadbiran harian. Kita mengharapkan agar amalan ini diteruskan dengan penghayatan terhadap isi kandungan al-Quran untuk diterjemahkan di dalam urusan pentadbiran harian.

Dengan penambahbaikan dalam pengurusan dan pentadbiran tersebut, Kerajaan berharap ia bukan sahaja dapat membantu Kerajaan khususnya dalam melaksanakan program-program pembangunan kearah kesejahteraan rakyat di negeri ini, malah turut memastikan jentera Kerajaan dapat menyempurnakan peranannya supaya terus menyumbang kepada daya maju ekonomi negeri. Kerajaan berharap peruntukan pembangunan sebanyak RM254.94 Juta yang disediakan dalam Bajet 2012 ini akan dapat dirancang dan dilaksanakan sepenuhnya.

Semoga pembentangan Bajet pusingan ini mampu di hargai dan dirasai kehadiran   setiap bilah dari spektrum keprihatinannya. Kami telah cuba menjenguk, menyelami  dan menyeluruhi setiap segmen dari kehendak dan keperluan sektor demi masa depan rakyat dan Negeri Kelantan yang lebih berkebajikan.

Kata bersongsong jadi bantah,

Kata kemudian kata bercari,

Nan ditepati kata dahulu;

Petua alim nan sudah-sudah,

Lain di mulut lain di hati,

Hukumnya munafik kata guru.

Semoga kita tidak begitu. Wal iya zubillah.

YB.Dato’ Speaker,

BAJET NEGERI KELANTAN TAHUN 2012

Bajet Negeri Kelantan Tahun 2012 sekalipun merupakan belanjawan defisit namun dijangka dapat mengulangi rekod pada tahun 2010 di mana defisit sebenar jauh berkurangan berbanding angka defisit di dalam bajet. Menurut laporan Ketua Audit Negara, defisit di dalam bajet Kelantan 2010 dianggarkan berjumlah RM80 juta namun pada akhir tahun 2010, angka sebenar ialah RM3.4 juta iaitu pengurangan sekitar 95%.

Di dalam bajet kali ini, perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi ialah berjumlah RM430.27 Juta, manakala Perbelanjaan Mengurus dianggarkan berjumlah RM513.50 Juta. Oleh itu defisit bagi tahun 2012 dijangka berjumlah RM83.23 Juta, berbanding dengan defisit dalam bajet tahun 2011 yang berjumlah RM53.25 Juta.

Walaupun anggaran hasil tahun 2012 sebanyak RM430.27 juta telah menunjukkan kenaikan berbanding anggaran hasil tahun 2011 yang berjumlah RM410.89 Juta, namun kenaikan berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung anggaran perbelanjaan mengurus dan menyebabkan peningkatan defisit berbanding tahun 2011.

ANGGARAN HASIL TAHUN 2012

Anggaran Hasil Negeri pada Tahun 2012 dijangka akan diperolehi sebanyak RM 430.27 Juta yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 88.49 Juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 196.24 Juta, sementara Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 145.54 Juta.

Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 Juta ataupun sebanyak 5 peratus berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2011.

Peningkatan hasil bagi pada Tahun 2012 adalah berpunca daripada beberapa penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambilkira pungutan sebenar hasil yang diperolehi bagi tahun 2010 dan sehingga Jun 2011. Hasil Tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM 109.46 juta atau 25.44 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukan peningkatan sebanyak RM2.24 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan tahun 2011 iaitu sebanyak RM107.21 juta. Hasil tanah meliputi pungutan Cukai Tanah sebanyak RM 36.97 juta, Premium Tanah RM 37.70 juta, Bayaran Pendaftaran RM 5.68 juta serta Bayaran Gadaian sebanyak RM 3.79 juta.

Manakala Perhutanan menyumbang sejumlah RM118.51 Juta atau 27.54 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Hasil hutan meliputi Royalti Kayu Kayan yang akan menyumbangkan sebanyak RM 25.00 Juta, Tribute Konsesi Hutan sebanyak RM 4.20 Juta, Permit dan Lesen Perhutanan menyumbang RM1.71 Juta sementara Premium Perhutanan pula sebanyak RM 40.00 Juta.

Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada pemilik-pemilik tanah agar menjelaskan premium dan cukai tanah serta tunggakan menerusi kempen dan usaha bersepadu oleh semua Pejabat Tanah. Ini bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan dalam urusan kutipan hasil dan cukai disamping mengenalpasti punca-punca hasil baru. Kesungguhan Kerajaan menerusi penubuhan pasukan petugas khas serta peruntukan peralatan, kewangan dan kakitangan dijangka mampu menjana peningkatan pungutan hasil. Walau bagaimanapun kempen dan galakan promosi kutipan hasil perlu berjalan seiring dengan tindakan undang-undang seperti yang diperuntukkan dibawah Kanun Tanah Negara. Badan Penguatkuasaan perlu diperkemas lagi supaya benar-benar berkesan.

Selaras dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri juga berharap agensi-agensi negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan, YAKIN, Yayasan Islam Kelantan dan PKINK akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hasil atau mencari punca hasil baru. Mereka perlu kreaktif dan proaktif dalam usaha ini supaya dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sumber bantuan Kerajaan Negeri. Mulai hari ini,mari kita sama-sama cuba  berdiri dan berdikari setegaknya untuk mendapatkan bayang teduh yang selurusnya.

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2012

Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2012 berjumlah sebanyak RM513.49 Juta berbanding sebanyak RM464.13 Juta dalam tahun 2011, iaitu meningkat sebanyak RM49.36 Juta atau 11 peratus, merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM22.90 Juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM490.60 Juta.

Dari jumlah tersebut, RM271.32 Juta atau 52.84 peratus adalah untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, RM146.55 Juta atau 28.54 peratus untuk Emolumen, RM77.91 Juta atau 15.17 peratus bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM15.59 Juta atau 3.04 peratus untuk Aset dan RM2.12 Juta atau 0.41 peratus untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

Selaras dengan dasar serta tema Bajet 2012 iaitu Kesejahteraan Bersama Keberkatan, Kerajaan telah meneliti secara terperinci anggaran belanjawan jabatan dan jabatan Kerajaan bagi memastikan peruntukan yang disediakan adalah merupakan keperluan sebenar jabatan dengan mengambilkira kenaikan kos-kos pengurusan. Oleh yang demikian, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2012 telah dapat disediakan ke paras yang amat munasabah dan memenuhi keperluan sebenar setiap jabatan. Dengan demikian, pihak kerajaan berharap nilai akauntabiliti terus terpelihara di dalam pengurusan kewangan kerajaan. Ia seterusnya diharapkan dapat meraih keberkatan daripada Allah SWT. Oleh itu, setiap anggota perkhidmatan awam negeri perlu bersedia dan turut menyumbang ke arah peningkatan prestasi dan produktiviti kerja dalam usaha memenuhi kehendak rakyat selaku pelanggan utama kerajaan.

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2012

Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2012 adalah berjumlah sebanyak RM254.94 Juta yang dibiayai dibawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM113.00 Juta daripada sumber pinjaman. Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosioekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Ringkasnya, kita sedang menggunting baju ikut ukuran badan dan keutamaan kita sendiri. Ini selaras dengan pengertian bajet   oleh seorang US Senator dari The State of Louisiana bernama Mary Landrieu berbunyi, (dengan izin YB.Dato’ Speaker) “A budget should reflect the values and priorities of our nation and its people”. Jika dihalusi, inilah pun, ruh keseluruhan Bajet Negeri Kelantan 2012  iaitu sebuah pancaran niat dan keikhlasan berteraskan nilai-nilai luhur agama Islam kita yang maha suci; dipadankan pula dengan senarai semak keutamaan fizikal yang menjadi hasrat  rakyat semasa di seluruh negeri. Apa orang nak kata, tidak mengapalah.

Orang  mengail berumpan lokan,

Sampan dikayuh terlalu laju,

Orang mengail dapat ikan,

Saya mengail dapat baju.

PENUTUP

Merancang sudah, membentangpun sudah. Hanya bahas saja yang belum. Semoga Allah sudi melimpahkan restu keberkatan dalam segenap ikhtiar yang kita sama-sama sedang usahakan ini. Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan disini untuk menyampaikan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Penguasa-Penguasa Tempatan, Pegawai dan Anggota Keselamatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan seluruh rakyat negeri Kelantan ini yang telah sama-sama berusaha untuk mewujudkan perpaduan, keamanan, kemakmuran serta kesejateraan hidup di negeri yang kita sama-sama kita sayangi ini. Marilah kita sama-sama merendahkan diri dan berdoa dengan sungguh-sungguh agar Allah S.W.T menjadikan Belanjawan Negeri Tahun 2012 yang bertemakan “Kesejahteraan Bersama Keberkatan” yang kita bentang ini dilimpahi dengan petunjuk, rezeki dan keberkatan yang berpanjangan.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami sebagai benteng urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami yang menjadi tempat kehidupan kami, perbaikilah bagi kami akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami! Jadikanlah ya Allah kehidupan ini mempunyai nilai tambah bagi kami dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian kami sebagai kebebasan kami dari segala kejahatan!

Saya Pohon Mencadangkan.

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah

Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa