Oleh : Muhammad Najid Abdullah\
Kita sering mahukan
kesenangan dalam hidup
sehinggakan kita terlupa
bagaimana rasa kesusahan.
Kita selalunya mahukan kejayaan
sehingga enggan lagi mengenal
bagaimana rasanya sakit
rebah terluka dek kegagalan.
Kita mahu dilihat gembira
sehinggakan kita malu
untuk menitiskan air mata
merasa sedar diri hamba.
Kita sebolehnya bercita-cita
ditempat pertama
dalam apa jua perlumbaan
sehingga enggan
sekalipun hanya bermimpi
untuk dibelakang.
Ya,
Barangkali itulah kita
manusia yang lupa
asal dari mana?
hidup untuk apa?
dan akhirnya ke mana?
Benar,
takdir memang tidak mampu ditadbir
sekuat mana kudrat
sekejap mana iradat
siapa kita untuk menolak ketentuan
takdir hidup dan pilihan
suratan kehidupan.
Dalam pasrah itulah
kita diajar qana'ah
sabar yang diganjar pahala
tapisan sebuah yang bernama ikhlas
berteorikan istiqamah
sama ada dijulang atau kebalikan.
Memangnya takdir ketentuan
tidak mampu ditadbir insan
namun ia masih boleh diubah
dengan kudus doa tadahan.
Ya Rab
Menjejak baki perjalanan
yang masih bersisa.
Tersadung rebah
atau terus melangkah
sirna dalam pasrah.
Hanya kerana Tuhan telah janjikan
bahagia mutlak hanya di Syurga
hanya kerana manusia silap terjemahkan
untung Akhirat untung Dunia
gantungnya hanya pada Azzawajalla.
Doakan kita menemui diri
untuk kita benar-benar mengenali Rabbi
menjadi diri dalam dakap Ilahi
Sekian.