DIMENSI

Ditulis oleh Super User. Posted in Kolumnis

OLEH : MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

AMARAH

Kecelaruan, kemarahan dan apa jua peristiwa melibatkan jentikan emosi selalunya tidak bermula pada ketika ia bermula. Mulanya sebenarnya sebelum ia bermula beberapa ketika dengan rentetan-rentetan peristiwa.

Sebagaimana peribahasa yang masyhur dalam sastera Arab;

"Sesungguhnya aku telah dimakan pada hari aku membiarkan lembu putih dimakan"

Kisahnya panjang dan saya pernah menulisnya beberapa lama dahulu menceritakan akar pada peribahasa ini. Kisah 3 ekor lembu dan seekor singa.

Dalam banyak ketika boleh dikesan rentetan-rentetan ini jika disusur galurnya. Terasnya harus bersambung antara satu sama lain hinga terbentuk lakaran-lakaran yang nampak berasingan tetapi sebenarnya berkaitan.

Lalu wujudlah apa yang bernama sengketa kemarahan. Yang selalunya mengerti sambungan cereka-cereka ini hanyalah mereka yang melaluinya atau yang membuka ruang untuk mengerti. Atau boleh jadi sesiapa sahaja.

PERSEPSI

Ia hadir dari dalam. Jauh di lubuk nubari. Sebagaimana lakaran hati sebegitulah minda persepsi. Ia seolah suatu anutan yang terpahat. Dalam banyak perkara manusia sering mahu mendengar apa yang mereka mahu dengar. Apa yang disukai sebagai halwa telinga.

Saya mahu menyambung nota tazkirah dengan perbualan antara saya dan seorang senior yang membuatkan saya berfikir panjang.

"Saya nak tanya ustaz secara jujur. Sebagai manusia ustaz nak dengar yang apa yang sedap didengar atau nak dengar sesuatu yang sebenar?"

"Tentulah yang sebenar", saya secara spontan menjawab.

Dalam skema jawapan saya boleh menjawab apa sahaja. Masa saya rasional.

"Tipu. Manusia selalunya mahu mendengar apa yang manis pada pendengarannya dan menafikan yang sebenar", dia memotong emosi baik saya dan saya mulai memakai semula kopiah praktikal. Topi putih katanya Step. Covey.

"Saya bagi contoh kalau dalam penyediaan laporan selalunya orang atasan mahu mendengar masalah yang sebenar atau penyelesaian dan andaian-andaian yang manis-manis. Tentulah penyelesaian yang sedap didengar", tegasnya bersekali contoh.

Saya mengangguk diam. Atas rasional teori barangkali saya betul. Jika sandarannya praktikal saya silap. Dunia praktikal tidak seindah teori. Sesuatu yang manis-manis sahaja mahu dirasai. Seolah derita kesakitan, air mata luka dan pahit berita tiada tempat dalam corong telinga manusia. Apa lagi hati.

Manusia seringnya tertipu dengan sesuatu yang paling paling rapat dengannya. Sesungguhnya syaitan tidak mampu meramal apa yang terpahat di hati manusia. Yang sering dilakukan hanyalah membisikkan hasutan di telinga. Berkebetulan hasutan itu sesuai dnegan nafsu. Lalu berlakulah tindakan. Bukan salah Syaitan tetapi manusia itu sendiri.

Kali ini saya tidak lagi membuat lawak 'cover line'. Benar. Paradoks dunia menjadikan manusia begitu.

DIMENSI AMARAH DAN PERSEPSI

Amarah adalah gelodak dalaman yang sering menjadikan manusia lupa akar budi. Lalu hiduplah mereka dalam persepsi yang mengharu-birukan suasana. Sekadar persepsi yang tidak berpijak di bumi nyata. Jauh sekali dari data dan fakta sebenar.

Inilah dimensi kehidupan. Sebagaimana hadis nabi SAW yang menjelaskan punca kecelaruan dalam tindakan adalah bermula dari dalam iaitu amarah perasaan;

Dari Abi Hurairah R.A., katanya. Telah bersabda Rasulullah s.a.w:

”Janganlah kamu mendengki, dan janganlah kamu menipu dan janganlah kamu berbalah, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadikanlah kamu hai hamba Allah bersaudara.”

”Orang Islam adalah bersaudara, tidak boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkan (dalam kehinaan), dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakanya.”

”Taqwa itu di sini – kata Nabi s.a.w. sambil menunjuk ke dadanya tiga kali, Sudah cukup banyak kejahatan seorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya,”

Diriwayatkan oleh Imam Muslim.

DOMUMENTASI

Kata seorang rakan yang lain, atas topik yang lain bahawa manusia semakin zalim. Melambak dengan fitnah sehinggakan binatang pun mahu difitnah.

Saya kepeningan. Fitnah binatang?

Ya. U'lor juga difitnah - bacaan sedikit bunyi Arab.

Bukan ke baru-baru ini dua ekor ular mengawan difitnah-viral mematuk seorang pelajar tahun 1 di Pengkalan Chepa. Padahal ular sebenar tidak ditemui.

Saya kembali faham. Betul juga. Sekadar mendokumentasikan cerita rakan-rakan sebagai tazkirah ingatan.

Sekian.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa