Kaya Harta VS Kaya Jiwa

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

“Makanlah. Ada orang bagi tadi”, saya dipelawa sungguh-sungguh untuk mengambil sekeping kuih seri muka di meja pantri.

“Siapa yang bagi?”, saya buat-buat tanya sambil tangan mencapai sekeping dari empat keping kuih yang ada.

“Pak cik jual kuih tepi rumah yang bagi. Kebetulan jumpa dekat Wisma Persekutuan tadi”, dia menjawab jujur.

“Bagusnya pak cik tu. Kerja dia jual kuih ke?”, saya buat-buat tanya lagi sambil mengunyah kuih dengan perlahan. Sopan makan ‘kuih free’.

“Ya, Jiran saya. Dia buat kuih dan hantar ke kedai-kedai”, soalan saya dijawab bagaikan polis dan pesalah.

“Bagus pak cik tu. Mesti rezekinya murah. Walau tidaklah sekaya mana tetapi punya jiwa pemurah”, saya panjangkan perbualan.

Suasana hingar di pantri senyap seketika. Barangkali ramai yang samar-samar akan erti kenyataan yang saya keluarkan. Apa kaitan antara jiwa dengan pemberian. Fahaman selapis akan berkata jika kaya pasti akan mudah memberi. Betulkah?

Baiklah. Lupakan seketika soal siapa lagi kaya. Pak cik penjual kuihkah atau kontraktor berjaya atau mereka yang makan gaji. Fokus kita adalah dengan dua keadaan dan mari kita jelmakan pengertian kaya jiwa dan material. Ada beza atau sebaliknya?

 

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, “Kekayaan sebenar bukanlah dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kekayaan sebenar adalah kaya jiwa.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah dengan memiliki harta dan material mewah yang melimpah ruah. Tetapi kebahagiaan sebenar adalah terletak di dalam hati.

Percayakah kita dengan kata hati? Dalam hadis yang lain Nabi SAW menjelaskan bagaimana hati memperoleh kemanisan iman. Maksudnya ketenangan hidup atau juga boleh diertikan sebagai kaya jiwa.

 

Daripada Anas RA daripada Nabi SAW bersabda; “Sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa dia mengasihi Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka”. (Hadis riwayat Bukhari Muslim)

 

Baiklah. Secara mudah mahu disampaikan atas tajuk ini berkaitan bagaimana sebenarnya peranan kaya jiwa berbanding kaya harta. Jika kaya berharta sekalipun tetapi tidak punya kaya jiwa tidaklah akan mengalir jua apa-apa sedekah-derma.

Dalam contoh penjual kuih yang tidak berpendapatan tetap mensedekahkan kuih untuk pemakan gaji berpendapatan bulanan, saya mahu gambarkan bagaimana jiwa mensedekah-derma  hadir dan mandiri dalam jiwa nurani.

Selalu kita didendangkan dengan alasan ;

“Nanti kaya aku dermalah”.

Soal saya, betulkah?

Selalunya jika masih tidak kaya harta pun sudah tidak punya kaya jiwa, apa lagi bila sudah kaya harta. Pastinya akan lebih sayangkan harta kerana dunia ini begitu sifatnya.

Apa yang lebih baik adalah kombinasi kaya jiwa dan harta. Sekalipun kaya jiwa berperanan lebih kehadapan tetapi niat sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada apa yang mahu disumbangkan.

Adapun pengiktirafan Nabi SAW tentang  definisi kaya iaitu kaya jiwa perlu diberi perhatian.

Sekian, terima kasih.

 

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa