"Sabarlah Duhai Anak"

 

Sengsara telah berkata dengan nada personifikasi merintih tegas,

“Jika kamu para muslim beriman sabar, benar-benar beriman hanya kepada Allah SWT tanpa sedikitpun menyekutuinya walau sekelumit kecil rasa cuak bimbang ketakutan, juga patuh atas arahan sabar, nescaya sengsara duka nestapa tidaklah akan sesekali melukai kalian”.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang beriman jadikanlah sabar dan mengerjakan solat sebagai penolongmu,  (mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah:153)

Saya singgah membeli air soya setelah menyelesaikan urusan di pinggir bandar Kota Bharu tengahari tadi.

Adapun urusan pembelian air soya seperti biasa. Tiada yang istimewa. Cuma telinga saya sempat merakamkan perbualan antara anak kecil dan ibunya, anak dan isteri penjual soya.

Ia berkisar soal pakaian. Anak kecil yang pada hemat saya sekitar umur 9 tahun enggan memakai seluar yang diberikan ibunya. Saya fikirkan anak itu baru pulang dari sekolah. Terus ke tempat kerja ibu bapanya. Jualan air soya gerai beroda tiga. Dialognya saya terjemahkan begini;

"Kenapa tidak mahu pakai?" dengan nada agak tegas si ibu bersuara.

"Seluar ni dah singkat. Malu nak pakai" agak lama anak kecil itu mahu mulakan jawapan.

Si ibu nampak sedih. Dipalingkan muka ke lain dan menjawab sedih "tak apa lah singkat sikit".

Saya tinggalkan mereka setelah membayar air soya yang dibeli. Sepanjang perjalanan pulang ke pejabat minda dan hati saya tidak henti-henti mengingati peristiwa yang baru saja terjadi. Sebak yang menikam nubari. Betapa hidup ini perlu diinsafi.

Sepanjang perjalanan saya memikirkan. Dimana insan-insan yang dimewahkan kekayaan. Mereka yang dileluasa kuasa dan uncang pemberian.

Jika ada dikalangan kita yang berlebihan dalam pakaian, apakah tidak pernah bersua mereka yang seumpama ini yang merintih kesengsaraan.

Sabarlah duhai anak. Segala payah ini pastikan diadili Tuhan. Saya doakan anak kecil itu dan keluarganya dirahmati Allah. Saya doakan juga agar anak kecil itu akan suatu hari mengubah nasib keluarganya.

Kemiskinan bukanlah suatu yang perlu diwarisi. Ia adalah pemangkin kesedaran untuk meloloskan diri keluar dari kelongsong susah.

Namun saya insafi peristiwa yang terjadi. Penjual soya itu barangkali lebih mulia dan diberkati Azzawajalla Rabbi atas kudrat tenaga mencari sesuap nasi sedang ada insan yang dengan mudah memperoleh kesenangan dengan cara yang salah.

Semoga Allah lorongkan hidayah dan kekuatan untuk saya, anda dan umat ini.

Sekian.

 

Muhammad Najid Abdullah

Eksekutif Pembangunan Manusia

Jabatan Sumber Manusia Dan Pentadbiran

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa