Berita

BantuanImamAl GhazaliLEBIH RAMAI PELAJAR CEMERLANG DIBANTU
http://www.gpsbestari.com/, 20 April 2016

MACHANG - Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memperuntukkan sebanyak RM465,000 bagi membantu 700 pelajar cemerlang di bawah Skim Bantuan Imam Al-Ghazali sejak 2009 hingga tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi PMBK, Sanusi Othman berkata, bantuan itu membabitkan 50 pelajar setahun dari 2009 hingga 2013 dan meningkat kepada 75 pelajar mulai 2014 dengan bantuan sebanyak RM50 sebulan.

Katanya, kerajaan negeri melalui PMBK telah mengadakan Skim Bantuan Imam Al-Ghazali sebagai salah satu program tanggungjawab sosial berupa bantuan kepada pelajar miskin yang cemerlang di bawah sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan memenuhi kriteria tambahan yang telah ditetapkan oleh pihak PMBK.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan ekonomi Negeri Kelantan melalui projek-projek pembangunan infrastruktur, industri, perbandaran, perniagaan dan juga kebajikan rakyat, bantuan ini diharapkan mampu membantu pelajar yang berpotensi namun kurang berkemampuan untuk mengejar kejayaan.

“Program ini telah memasuki tahun kelapan sejak ia dilancarkan pada 2009. Dengan adanya bantuan seumpama ini, diharapkan ia dapat membantu mereka mencapai keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan datang dan semoga sumbangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan jumlah penerima yang lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali siri kelapan di Maahad Syamsul Maarif Perempuan di Pulai Chondong, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Mohamad Awang.

Hadir sama, Mudir Maahad Syamsul Maarif Perempuan, Ramli Din.

Setiap pelajar akan menerima wang bantuan yang telah dikreditkan ke akaun masing-masing berjumlah RM50 bagi setiap bulan selama 2 tahun.

Sementara itu, Mohamad berkata, sumbangan itu diharapkan mampu menggembleng usaha dalam memajukan pencapaian pendidikan di Kelantan dan ia menjadi satu rangsangan serta motivasi kepada anak-anak untuk meneruskan pelajaran mereka.

Katanya, hasil kerjasama di antara YIK dan semua pihak terlibat, kini makin ramai pelajar yang cemerlang sehingga ke peringkat nasional dapat dihasilkan oleh YIK.

“Bantuan kepada pelajar cemerlang dalam bentuk kewangan menjadi pendorong kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh bagi meningkatkan pencapaian mereka.

“Tahniah juga kepada pelajar yang mendapat sumbangan dan semoga dapat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang telah diberi,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa