Berita

09.28.9AKSB-Satu tandatangani perjanjian beli air terawat
SINAR HARIAN, 21 Disember 2015

ASIR PUTEH - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) hari ini menandatangani perjanjian pembelian air terawat secara pukal daripada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan‎ Semerak dan Bukit Yong di sini.

Menerusi perjanjian itu, Satu akan membekalkan bekalan air terawat sebanyak 150,000 meter padu sebulan untuk kegunaan 1,200 akaun pengguna AKSB.

Pengarah Eksekutif AKSB, Sanusi Othman menandatangani perjanjian bagi pihak syarikatnya manakala Satu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Atemin Sulong.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Ahmad berkata AKSB membeli air terawat itu bagi mengatasi masalah tekanan bekalan air yang rendah di kawasan Semerak termasuk pelabuhan Tok Bali dan Bukit Yong yang telah lama berlarutan.

"Pembelian air terawat ini adalah bersifat jangka pendek sahaja sementara menunggu siapnya projek menaik taraf Loji Rawatan Air Merbau Chondong di Machang Fasa 2 yang dijangka siap penghujung 2016," katanya.

Ahmad berkata Kelantan bersedia untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Terengganu khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pelancongan untuk faedah rakyat.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata Satu menggunakan bekalan air dari Loji Bukit Bunga, Besut untuk disalurkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sebagai negeri berjiran, Terengganu sentiasa bersedia untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi rakyat Kelantan termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir akhir tahun lepas.

Katanya kerajaan Terengganu juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Kelantan dalam bidang lain seperti pendidikan dan ekonomi untuk faedah rakyat. - Bernama

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa