Berita

ABDUL FATTAHDinar, dirham diyakini bantu rakyat
SINAR HARIAN, 9 SEPTEMBER 2015

KOTA BHARU - Kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap penggunaan dinar dan dirham yang diyakini dapat membantu rakyat mengekalkan ekonomi serta kewangan mereka.



Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pada masa ini, Kelantan berusaha bersungguh-sungguh supaya negara menilai semula penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Berdasarkan pengalaman dahulu, kita mengambil contoh yang paling mudah, iaitu satu dinar mampu membeli seekor kibas pada masa dahulu dan sekarang nilai satu dinar dapat membeli seekor kambing.

“Berbanding RM1 pula sekarang ini, kalau kita nilai, mungkin hanya dalam jumlah yang sangat kecil,” katanya, di sini, semalam. Abdul Fattah berkata, sejak 2006, kerajaan negeri Kelantan melancarkan dinar emas di negeri ini supaya ia membuka minda masyarakat bahawa ada satu lagi kaedah jual beli atau sistem barter (barter trade) yang menggunakan dinar dan dirham.

“Mana-mana individu, agensi dan pertubuhan yang mempromosikan dinar dan dirham, kerajaan negeri memang memberikan sokongan yang sebaik-baiknya.

"Malah sekarang ini, di Kelantan, kita berusaha memastikan dinar dan dirham dapat dicagar di Ar-Rahn atau mana-mana pajak gadai.

“Perbincangan tahap akhir kini dijalankan di Ar-Rahn di bawah Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan kita yakin akan mengadakan satu cawangan Ar-Rahn yang dapat menerima dinar dan dirham sebagai wang cagaran atau gadaian bagi kegunaan tertentu kepada mereka yang memerlukan wang tunai,” kata Abdul Fattah.

Beliau berkata, pihaknya juga kini giat mempromosikan kedai-kedai yang menggunakan barter trade, selain menggalakkan penggunaan dinar dan dirham, tambahan pula ia tidak bercanggah dengan dasar kewangan negara.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin sebagai langkah awal dan permulaan dinar dan dirham menyeluruh pada masa akan datang, juga antara langkah lain kami adakan promosi dinar dan dirham sebagai anugerah kepada tokoh-tokoh.

“Setakat ini, kita sediakan anugerah dinar dan dirham, kita buat khusus untuk tokoh belia dan wanita sebelum ini,” katanya.

Kata beliau lagi, cadangan supaya agensi tertentu memberikan hadiah menggunakan dinar dan dirham kepada kakitangan mereka juga dialu-alukan supaya ilmu dan kebaikannya dapat dikongsikan bersama.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa