Berita

Ir Mohamad Hanapi MahmudBanjir Kelantan perlu pemulihan segera
SINAR HARIAN, 3 Mac 2015

BANJIR besar yang melanda Kelantan penghujung tahun lalu memberi kesan hebat buat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), bukan sahaja 28 loji terjejas malah proses baik pulih juga mencabar. Bagi mengetahui perkembangan pasca banjir pembekal air utama di negeri ini ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, MURNI ABD RASYID bersama Pengurus Besar AKSB, IR MOHAMAD HANAPI MAHMUD.

 

Sejauh mana kemusnahan prasarana AKSB ketika banjir tempoh hari? AKSB menanggung kerugian kira-kira RM35.2 juta di mana untuk loji sahaja RM16.1 juta manakala bagi paip-paip agihan termasuk sistem yang dipasang seluruh negeri membabitkan RM19.1 juta.

Daripada 32 loji, 28 darinya terjejas dan sebahagiannya ditenggelami air banjir malah tidak berfungsi disebabkan tiada bekalan elektrik yang diputuskan untuk elak bahaya. Keadaan loji sangat teruk di mana muka sauk dipenuhi dengan lumpur.

Soalan: Loji paling terjejas teruk? Paling teruk terjejas ialah loji di Tualang dekat Kuala Krai di mana 100 peratus rosak teruk dengan air banjir mencecah paras bumbung. Bagi alat-alatan yang tenggelam air kita keringkan, baiki dan gantikan bahagian-bahagian yang rosak.

Begitu juga motor yang ditenggelami air, kita buka, cuci dan keringkan kemudian pasang semula. Manakala bagi muka sauk yang dipenuhi lumpur kita gunakan tenaga pekerja-pekerja sehinggalah loji boleh digunapakai.

Adakah perkhidmatan air AKSB kini sudah pulih sepenuhnya? Kita dah beroperasi 100 peratus dan ia secara berperingkat, kebanyakan loji sudah digunakan. Dua minggu proses baikpulih siap 80 peratus dan tiga minggu untuk siap sepenuhnya.

Buat masa sekarang tiada masalah pengeluaran air cuma berlaku sedikit kesukaran apabila paip-paip di kawasan banjir beralih berikutan berlaku pergerakan tanah. Jika ada bocor baru kita baiki.

Cuma belum buat di mana paip utama yang berada di bawah rumah yang telah dihanyutkan air, itu memerlukan lebih masa. Kebanyakan rumah hanyut ini belum dialihkan dan dibawa sekali dengan paip khususnya di Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah. Kita memang tidak boleh baik pulih selagi masalah rumah ini tidak selesai.

Setakat ini berapa jumlah pengguna AKSB? AKSB ada 1.1 juta pengguna dan ia bertambah tiga peratus setiap tahun. Kesan pembayaran lewat dariapda pengguna lebih dua bulan membuatkan AKSB terpaksa menampung kos RM20 juta.

Manakala AKSB turut mengalami kerugian RM7 juta kesan daripada akaun yang tidak aktif belum melunaskan hutang masing-masing sehingga kini.

Bagaimana dengan kos/dana untuk baikpulih? Untuk tujuan tersebut kita guna dana yang sedia ada, memang kita tidak baiki habis lagi mungkin tunggu kewangan peruntukan dari pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bantu balik. Kita buat satu persatu-persatu proses baik pulih dari sumber kewangan sedia ada.

Bagaimana kualiti air selepas banjir? Pada peringkat awal kualiti air memang ada gangguan berikutan tiga minggu paip kosong malah loji juga ditukar kepada air baru. Ia kerana lama tidak beroperasi, akhir Januari lalu kualiti air sudah kembali seperti biasa.

Adakah AKSB bersedia menghadapi banjir baru-baru ini. Banjir melanda memang mengejut, ada pam kita sempat angkat ada yang tidak. sesetengah dah angkat tapi masih ditenggelami air, kita memang tidak sangka keadaan seteruk ini.

Adakah AKSB turut dapat bantuan dari luar? Ya. untuk baikpulih loji terjejas AKSB menerima bantuan luar dari semua operator-operator air dari seluruh negara datang bersama tanker-tanker dengan kekuatan keseluruhan 350 kakitangan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kordinator bagi menyelaras operator yang datang bantu kita. Setip mereka datang dengan 40-50 kekuatan termasuk kepakaran jurutera dan juruteknik.

Setiap operator air ini diberikan loji angkat agar mereka dapat fokus untuk proses baik pulih sepenuhnya. Datang dengan kosong (loji teruk) dan pulang setelah loji boleh beroperasi seperti biasa.

Kita tidak mampu untuk baik pulih 28 loji terjejas dalam masa tiga minggu tanpa bantuan operator air dari seluruh negara ini. Kita boleh buat tapi memakan masa tiga bulan dan kosnya mungkin lebih tinggi.

Apa usaha AKSB ketika banjir? Ketika banjir bekalan air terputus, kita sedia 30 tangki setiapnya diisi dengan 9,000 liter air kemudian dihantar ke seluruh pelosok Kelantan khususnya lokasi terjejas seperti klinik desa, hospital, pusat pemindahan. Memang sukar waktu itu, nak kendalikan aduan orang ramai ditambah dengan loji yang masih tidak pulih.

Perancangan masa depan AKSB? Kita dah ada kayu pengukur iaitu banjir besar dengan menanda aras banjir baru-baru ini. Selepas ini akan tambahbaik projek baru dan sedia ada. Bina loji di kawasan yang lebih tinggi.

Proses migrasi penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air yang diusahakan oleh SPAN dalam kaedah Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) yang sedang dalam fasa finalised perjanjian.

Mungkin akan ditandatangani dalam tempoh sebulan dua lagi. Manfaat darinya selepas ini segala perbelanjaan kapital akan dibiayai PAAB. Ia juga bergantung kepada kemampuan kita untuk bayar balik dalam masa 45 tahun.

Adakah 2014 kerugian paling besar dialami AKSB? Ya. Paling teruk dalam sejarah walaupun banjir melanda pada 2004 dan 2008 namun tidak melibatkan penutupan loji. Hanya pernah berlaku pada 2012 ketika musim kemarau loji di Kelar, Pasir Mas ditutup seminggu berikutan paras air sungai menurun.

Apa persediaan AKSB berdepan kemungkinan musim kemarau dan kering kelak? Kita dah nampak trend kemarau dan kering ini, bagaimanapun AKSB bersiap sedia lebih awal dengan kaedah-kaedah lebih efektif berbanding sebelum ini.

Bagaimana dengan kes kecurian meter air sejak akhir-akhir ini? Kecurian meter air AKSB memang sering berlaku dan jika keadaan meruncing 100 hingga 200 meter hilang setiap hari dan paling aktif sekali di Kota Bharu. Dalam satu-satu masa kita tanggung kerugian kira-kira RM100,000.

Kita harap pemilik yang berdepan situasi ini agar membuat laporan polis agar senang untuk proses ganti semula oleh AKSB.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa