Berita

News_Banner_Berita_Terkini
Akar Umbi Pertahan Nik Aziz
SinarHarian, Hezelen Liana Kamarudin

KOTA BHARU, 30 OKT - Pas Kelantan masih memerlukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menerajui Kerajaan Negeri terutama dalam pilihan raya biarpun wujud tanggapan beliau sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Nik Abdul Aziz merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru (Gelaran kepada Nik Abdul Aziz) untuk terus berkhidmat walaupun sudah  beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu beliau meluangkan masa selama tiga jam melawat Kampus Limkokwing Akademik Kelantan di sini, yang turut dihadiri oleh Ketua Akademiknya, Dr Zainal Abidin.

Katanya mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang seolah-olah bermati-matian mahukan Nik Abdul Aziz berundur, Mohd Amar menjelaskan hanya Pas yang lebih tahu siapa yang layak untuk memastikan Kelantan terus kekal di bawah pemerintahan Pas.

“Biar kami (orang Pas) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut.

“Pengekalan Tok Guru juga tiada kaitan dengan masalah dalaman tetapi kami sendiri mahukan beliau,” katanya.

Sementara itu, menjawab tuduhan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai makan gaji buta, Mohd Amar menafikan dakwaan itu sebaliknya beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua sebaiknya.

Dalam kenyataan itu, Ibrahim berkata, Nik Abdul Aziz perlu berundur kerana beliau tidak boleh berfungsi mentadbir dan menjadi ketua kerajaan yang efektif, beliau tidak boleh jadi ketua pentadbir berkesan kerana keadaan yang uzur.

Mohd Amar berkata, sebagai menteri besar tanggungjawabnya hanyalah memberikan idea dan arahan manakala yang melaksanakan serta melakukannya adalah kerja exco.

“Jadi di sini tiada istilah makan gaji buta dan walaupun beliau uzur tetapi pemikiran dan pendapatnya masih diperlukan,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa