Berita

Dari HarakahDaily

KOTA BHARU, 22 Julai: Pembangunan di kawasan hulu Kelantan maju setapak lagi apabila tanah tinggi Lojing bakal diisytiharkan sebagai Jajahan Kecil Lojing tidak lama lagi.

Biar pun belum diisytiharkan sebagai jajahan penuh namun Lojing akan menjadi jajahan ke-11 di Kelantan selepas ini.

Pengisytiharan Jajahan Kecil Lojing Kelantan Darulnaim djangka disempurnakan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada 31 Julai ini.

Majlis bersejarah itu akan diadakan di Kampung Penangau bersempadan dengan Pahang.

Dijangka hadir di majlis berkenaan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco, pegawai kanan kerajaan negeri serta persekutuan.

Pada majlis tersebut Pemangku Raja akan menyerahkan titah perasmian pengisytiharan Jajahan Kecil Lojing Kelantan Darulnaim kepada Menteri Besar.

Selain itu baginda dijangka meletak batu asas membina Masjid Keputeraan dan melawat pameran agensi kerajaan berkaitan pembangunan tanah tinggi Lojing.

Tapak perasmian bersejarah itu akan diadakan di hadapan pejabat Biodiversiti Jabatan Perhutanan di Lojing.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, Lojing dinaik taraf menjadi jajahan kecil bagi memudahkan kerajaan negeri memantau dari dekat pembangunan kawasan berkenaan.

“Sebelum ini urusan pentadbiran dikendalikan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

“Dengan pengisytiharan sebagai jajahan kecil sebuah pejabat pentadbiran yang lebih selesa akan diwujud dan ditempatkan pegawai lebih kanan dengan dibantu beberapa pegawai lain,” katanya di sini.

Selain itu pejabat-pejabat lain milik kerajaan juga akan dibina di tapak yang disediakan.

Menurut beliau fokus pembangunan di Lojing iaitu aktiviti pertanian dan pelancongan berkonsep tanah tinggi.

Katanya, penempatan lebih ramai pegawai dan kakitangan dengan dibantu jabatan lain diharap dapat memantau pembangunan di Lojing dengan lebih berkesan.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa