Berita

BERITA.BM.27.9

altAdik Sultan Kelantan Wakili Kerajaan Negeri Dalam Mesyuarat Tuntut Royalti Minyak

The Malaysia Insider, 7 Okt 2013

 

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra sudah beberapa kali mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam perundingan tuntutan petroleum dari Kerajaan Persekutuan.

 

Langkah memasukkan beliau sebagai wakil kerajaan negeri Kelantan dipercayai bertujuan untuk memujuk sambil memberikan tekanan kepada Kerajaan Persekutuan agar membayar segera tuntutan royalti yang dibuat oleh negeri Cik Siti Wan kembang itu.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur menjelang pilihan raya umum ke13 (PRU13) lalu.

 

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

 

Namun, PAS Terengganu melalui Pesuruhjayanya, Mohamad Abdul Wahid Endut menyifatkan jawatankuasa ini ditubuhkan untuk keperluan pilihan raya.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub (gambar) dalam ucapannya semasa membentangkan Bajet Kelantan 2014 hari ini, merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan kepada Tengku Mahkota Kelantan yang telah beberapa kali mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama pihak Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan berkenaan.

 

Ahmad Yakob telah membentangkan Bajet Kelantan 2014 yang masih lagi berimejkan bajet bersyariat seperti yang telah dimulakan sekian lama oleh bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih dua dekad yang lampau.

 

Bajet Kelantan hari ini yang bertemakan “Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri” membayangkan komitmen kerajaan untuk terus mengekalkan identiti Kelantan sebagai sebuah negeri yang berkebajikan selain mengutamakan pembangunan insan yang menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.

 

Sekali lagi untuk Bajet 2014, kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200 juta. Untuk tahun ini, ia membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet.

 

Menurut Pejabat Menteri Besar, ia merupakan satu lambang ketegasan kerajaan negeri yang sama sekali tidak akan berundur dari tuntutan hak rakyat negeri Kelantan ke atas hasil mahsul bumi mereka sendiri.

 

"Sekalipun kes ini masih dibicarakan di mahkamah, namun ia tetap segar di hati rakyat Kelantan. Bahkan lebih menyedihkan jika benar jumlah tertunggak tuntutan royalti ini ialah sebanyak RM12 billion berdasarkan kepada jumlah pengeluaran semenjak tahun 1997, ia membayangkan betapa besarnya kezaliman yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat selama ini.

 

"RM12 billion ini jika diserahkan kepada Kelantan akan dapat digunakan untuk manfaat seluruh rakyat negeri ini yang lebih 90% rakyatnya terdiri daripada orang Melayu," kata Ahmad Fadzli Shaari, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

 

Justeru, langkah kerajaan Kelantan memasukkan bayaran royalti ini sebagai salah satu anggaran hasil merupakan satu lambang kesungguhan Kelantan untuk terus berdiri mempertahankan tuntutan royalti ini.

 

"Ini bukan satu mimpi, ini ialah satu perjuangan yang satu hari nanti pasti akan berjaya Insya-Allah. Kata Sitting Bull, 'If we must die, we die defending our rights'," katanya.

 

Sementara itu, hanya tiga dari 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ketika Ahmad membentangkan Bajet Kelantan 2014.

 

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa