AKTIVITI.BM.27.9

usrah.qiamProgram Usrah & Qiam PMBK “We Are Family” Zulkaedah, 1434H

Oleh: FBI, 30 September 2013

 

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa, iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

(Surah al-Muzammil, ayat 1 hingga 4)

 

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

(Muttafaq ‘Alaih)

 

Usrah merupakan satu bentuk aktiviti sosial kemasyarakatan dengan pendekatan Islam untuk membantu menyemarakkan hubungan antara insan. Ia turut dinamakan ‘Islamic circle’ yang bersifat halaqah dengan mengupas isu-isu yang berlegar di dalam masyarakat dan menekankan sikap ‘conscious of the majority’ supaya setiap insan dapat mengambil manfaat dan iktibar atas apa yang berlaku. Ibadah qiamullail bererti bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT. Antara hikmahnya, ia dapat mententeramkan hati dan menenangkan fikiran dengan ibadat yang khusyuk serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah di samping dapat meninggikan darjat di sisi Allah.

 

Menyedari kelebihan dan hikmah yang terkandung dalam kedua-dua bentuk aktiviti tersebut, Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah mengambil pendekatan bermuhasabah dengan menganjurkan Program Usrah & Qiam dalam merealisasikan Model Pengurusan Islam (MPI). Tema “We Are Family” dipilih sebagai suatu alternatif yang dapat membantu kelancaran hubungan antara kakitangan di dalam organisasi tersebut. Ia menggarap idea untuk membangunkan minda dan rohani kakitangan seiring moto syarikat iaitu “Untung Dunia, Untung Akhirat”. Program tersebut telah diadakan pada 20 sehingga 21 Zulkaedah 1434H bersamaan 26 sehingga 27 September 2013 bertempat di Masjid al-Hakim, Tanjung Chat, Kota Bharu.

 

Usrah Dan Qiam PMBK kali ini mengetengahkan konsep persaudaraan dengan tema “We Are Family” sebagai ‘benchmark’ kepada hubungan interpersonal antara kakitangan bagi merealisasikan Dasar Kerajaan Negeri iaitu ‘Membangun Bersama Islam, Kelantan Menerajui Perubahan’. Program yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi (PMBK), Sanusi Hj Othman dimulai dengan sesi pendaftaran kakitangan PMBK pada pukul 6.30 petang, hidangan makan malam dan seterusnya solat Maghrib berjemaah. Usai solat, Imam telah memimpin bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang turut disertai ahli kariah masjid.

 

usrah.bbqAntara aktiviti yang telah dirangka khusus sebagai pengisian yang santai selepas solat Isyak ialah Usrah dan Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Hj Zainuddin Che Ismail, Mudir Maahad Muhammadi Rantau Panjang. Beliau menerangkan kepentingan Ukhuwah Islamiah dalam kehidupan berorganisasi, nilai-nilai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s dan liberalisasi pemikiran yang mengancam umat Islam masa kini. Tazkirah tersebut berakhir pada pukul 10.30 malam dan program diteruskan pula dengan ‘Usrah BBQ’ bertempat di bangunan bersebelahan masjid yang juga merupakan kediaman untuk kakitangan beristirehat sementara menunggu qiamullail. Program seterusnya pada pukul 4.30 pagi iaitu qiamullail yang dimulai dengan solat sunat Tahajjud, solat sunat Hajat, solat sunat Witir dan solat Subuh berjemaah. Kuliah Subuh pula disampaikan oleh Ustaz Ilias Ahmad, Penolong Pendaftar Kanan(Pembangunan Pelajar), KIAS dan diakhiri dengan sarapan pagi sekitar pukul 8.00 pagi.

 

Semoga usaha ini akan menatijahkan manfaat yang besar kepada pembangunan kerohanian dan hubungan silaturahim kepada seluruh kakitangan seiring dengan pembangunan dan kemajuan syarikat.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa