AKTIVITI.BM.27.9

Taklimat Ekonomi Semasa Kumpulan PMBKekonomi.semasa

Oleh: FBI, 18 Sept 2013

 

Pada 9 Zulkaedah 1434 bersamaan 15 September 2013, satu taklimat khas berkenaan situasi ekonomi semasa telah diadakan bertempat di Darul Digital Multimedia Solutions Sdn Bhd, KB Cyber Plaza. Taklimat berkenaan disampaikan oleh Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) yang juga merupakan bekas Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat UEM Group Berhad. Beliau yang memperoleh ijazah dalam bidang Sains Perakaunan dari University of Illinois, USA berpengalaman luas di dalam bidang industri pasaran modal dan analisa ekonomi semasa. FIMM yang telah ditubuhkan pada 1993 bermatlamat untuk membangunkan industri amanah saham di Malaysia.

Taklimat tersebut bermula pada pukul 9.30 pagi pukul 4.00 petang telah dibahagikan kepada 3 sesi yang dihadiri oleh semua pengurus besar dan pengurus kanan PMBK dan kumpulan.

 

Taklimat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Haji Othman. Pada sesi pertama, Haji Ahmad Zakie telah membahagikan beberapa aspek utama yang perlu diberi penekanan dalam memahami situasi ekonomi semasa iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi. Beliau juga menyentuh tentang sektor-sektor yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara iaitu pembuatan, perladangan, perkhidmatan dan hartanah. Dari aspek politik, kemunculan sistem dua parti atau two-parties system selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008, membolehkan proses ‘check & balance’ dapat dilakukan di antara parti pemerintah dan juga pembangkang untuk mengenal pasti perkara-perkara yang boleh ditambah baik untuk kebaikan negara.

 

Menyentuh tentang pengurangan subsidi oleh kerajaan yang menjurus kepada kenaikan harga minyak sebanyak RM0.20 sen, beliau menyifatkan perkara ini berlaku kerana lebihan akaun semasa kerajaan kini semakin menurun. Pada tahun 2011, statistik menunjukkan bahawa lebihan akaun semasa kerajaan berada pada RM86 Billion telah menurun kepada RM22.9 Billion pada suku ke-4 tahun 2012, manakala angka yang diperolehi pada suku kedua tahun 2013 menurun lagi kepada RM2.6 Billion berbanding RM8.7 Billion pada suku pertama 2013. Situasi ini terjadi disebabkan kadar eksport negara semakin menurun akibat kecenderungan pengimport untuk beralih ke negara yang mengenakan cukai yang lebih baik selain kos upah buruh yang rendah. Dengan ini, pendapatan negara tidak lagi bertambah sedangkan perbelanjaan negara berada pada kadar yang sama setiap tahun.

 

Di samping itu, lebihan akaun semasa kerajaan turut berkurangan disebabkan pungutan hasil cukai pendapatan (income tax) yang tidak menyeluruh. Bagi mengatasi situasi ini, beliau menjangkakan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan atau Good & Services Tax (GST) di dalam pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadualkan pada akhir Oktober ini. Pada sesi kedua, Haji Ahmad Zakie menghuraikan aspek sosial di mana indeks jenayah pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan. Katanya, langkah kerajaan untuk menambah jumlah anggota polis tidak akan menyelesaikan masalah utama ekonomi negara kerana dengan penambahan anggota polis ini, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar yang sekali gus menambahkan beban ekonomi negara.

 

Pada sesi ketiga, taklimat lebih menjurus kepada memahami situasi ekonomi makro. Haji Ahmad Zakie menerangkan bahawa kejatuhan nilai ringgit pada masa kini berpunca daripada penawaran yang melebihi permintaan dan juga bon-bon yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Situasi ini masih terkawal berbanding krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997. Walau bagaimanapun, negara dijangka akan mengalami peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5% hingga 6% berbanding 4.8% pada tahun ini disebabkan sokongan kukuh daripada sektor-sektor swasta. Perkembangan ini disokong oleh sektor-sektor perladangan, pembuatan dan hartanah yang semakin agresif dalam pasaran.

 

Sesi diakhiri dengan perbincangan tentang polemic Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA). Haji Ahmad Zakie berpendapat bahawa pelaksanaan TPPA ini akan menjurus kepada pengurangan cukai di kalangan negara-negara yang menandatangani perjanjian ini selain untuk mendapatkan perlindungan harta intelek dan persaingan dalam pasaran terbuka. Walau bagaimanapun, ia sedikit sebanyak menganggu segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai kewangan yang kukuh. Taklimat berakhir pada pukul 4.00 petang dan jamuan ringkas disediakan kepada hadirin.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa