“Jika dibuat ia akan terdedah kepada eksploitasi dan ini bahaya. Bagi saya Kelantan elok kempenkan keindahan hudud itu dahulu, tidak payah fikir dan buat hudud kerana melaksanakannya bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja “Hudud suatu Perbincangan Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan” di seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hududullah Kelantan yang dirasmikan Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, jika Pas Kelantan tidak melaksanakan hudud ia tidak melanggar syariat Islam kerana undang-undang itu gagal dibuat disebabkan suasana negeri itu yang tidak kondusif.

“Saya faham perasaan bimbang Menteri Besar Kelantan sebagai pemerintah untuk laksanakan hudud kerana beliau takut disoal Allah kelak, tetapi kuasa Kerajaan Negeri terhad dan ia ditentukan Kerajaan Pusat.

“Jika tidak laksanakan hudud, beliau tidak melanggar syariat Islam kerana faktor-faktor itu. Dalam isu ini ia harus dilihat dalam kerangka lebih luas,” katanya.

Menurutnya, hukum hudud memerlukan ijtihad-ijtihad baru sebelum dilaksanakan kerana keadaan masyarakat majmuk di negara ini menyebabkan ia tidak boleh terikat dengan teks lama.

Dalam usaha itu, katanya, kerajaan perlu mempromosikan aspek keadilan dalam pemerintahan, kebajikan rakyat, kesaksamaan dan sebagainya secara habis-habisan supaya masyarakat benar-benar memahami syariat Islam itu.

Dr Asri berkata, Malaysia tidak kondusif melaksanakan hukum hudud setakat ini tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan supaya masyarakat bukan Islam dan antarabangsa mendapat gambaran jelas mengenai hukum berkenaan.