PERUTUSAN KHAS

Written by Super User. Posted in Uncategorised

PERUTUSAN KHAS

bismillah 

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 
 
 
“..Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” 
 
 
 Surah Al-Mulk, ayat 2.

 

Puji dan syukur kita lafazkan kepada Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita semua kesihatan yang berpanjangan untuk terus bernafas di bumi Allah SWT ini. Semoga kita semua terus diberikan hidayah agar dapat mengisi kehidupan ini dengan amal ibadat bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Selaku pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan PMBK di atas kewujudan laman web ini yang saya kira amat penting bagi memaparkan pelbagai info mengenai PMBK dan anak-anak syarikat. Selain itu, laman web ini juga diharapkan dapat menjadi medan interaksi di antara PMBK dengan pelanggan-pelanggan khususnya rakyat negeri Kelantan keseluruhannya.

 

Sebagai pimpinan kerajaan negeri, saya berharap agar kakitangan PMBK khususnya dan seluruh warga kerja di negeri ini menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam melaksanakan urus tadbir sesuai dengan amanah yang dipikul. Jika diperhatikan di dalam maksud ayat yang menjadi muqaddimah di atas, kita akan memahami bagaimana tujuan hidup ini ialah sebagai medan ujian bagi manusia untuk dinilai siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya. Justeru, konsep reward and punishment di dalam gerak kerja sebenarnya telah lama diperkenalkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Apa yang penting, kita mengambil pengajaran daripada ayat-ayat yang telah dirakamkan di dalam al-Quran untuk menjadi pedoman kepada kita menjalani kehidupan.

 

Semoga apa yang kita lakukan menjadi bekal di hadapan Allah SWT di akhirat kelak, Insya-Allah.

 

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

 

Sekian, wassalam.

 

YAB  DATO' HAJI AHMAD YAKOB

Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan