AKTIVITI.BM.27.9

Festival Antarabangsa Industri Kreatif Kelantan 2013tmb.melawat.booth.13

Oleh: Muhammad Ismail Ibrahim, 6 Nov 2013

 

Pada 26 Zulhijjah 1434 bersamaan 31 Oktober 2013 lalu, Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menganjurkan Festival Antarabangsa Industri Kreatif Kelantan 2013 bertempat di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV. Program yang turut dijayakan oleh Symphonet dan Infra Quest Sdn Bhd tersebut telah diadakan buat kali kedua merupakan satu usaha daripada Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengetengahkan pelbagai bentuk perniagaan dan peluang pemasaran di dalam industri kreatif. Antara objektif penganjuran festival ini adalah untuk mempromosi produk-produk baru berasaskan industri kreatif, mempamerkan perkhidmatan yang inovatif, memperluaskan jaringan pemasaran dan mengeratkan jalinan perdagangan.

 

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Abdullah Ya’cob, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Perpaduan Masyarakat, Zulkifli Mamat, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Pengarah dan Jabatan, serta dif-dif kehormat. Pelbagai agensi korporat dari seluruh negara turut mengambil bahagian di dalam festival tersebut termasuklah Chemical Company of Malaysia (CCM), Lim Kok Wing University, Malaysia Status Incubator (MSC) dan Portokbali Malaysia.

 

PMBK turut membuka gerai pameran yang juga disertai oleh anak-anak syarikat seperti Darul Digital Multimedia Solutions Sdn Bhd, Majaari Services Sdn Bhd, Sihhat-Afiat Sdn Bhd dan Kifaalah Sdn Bhd. Program yang berlangsung selama 4 hari tersebut meliputi pelbagai acara termasuklah pameran inovasi dan penciptaan, demonstrasi dan jualan produk kreatif tempatan & antarabangsa, pesta ICT dan multimedia, pesta makanan halal, pertandingan masakan yang dikendalikan oleh Chef Sabri Hassan, kuliah agama bersama Ustaz Haslin Baharin dan pameran fotografi.