AKTIVITI.BM.27.9

ust.madMajlis Penyampaian Hadiah Suar Bahasa Peringkat Wilayah Timur 2013

Oleh: FBI, 14 Okt 2013

 

Pada 8 Zulhijjah 1434H bersamaan 13 Oktober 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Penyampaian Hadiah Suar Bahasa Peringkat Wilayah Timur 2013 bertempat di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, Kelantan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob dan turut dihadiri Rusli Abd Ghani, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Dua anugerah utama yang ditawarkan iaitu Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah dan Hadiah Suar Bahasa Peringkat Wilayah Timur. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada jabatan kerajaan dan pihak swasta yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul dalam penerbitan buletin jabatan dan majalah korporat.

 

Sebagai salah satu organisasi korporat, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang mempertandingkan majalah korporat (Qiadah) telah meraih tempat ketiga bagi Kategori Bahasa. Majalah Infokus terbitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Majalah InfoKIST masing-masing merangkul johan dan naib johan bagi Kategori Bahasa. Manakala dalam Kategori Penerbitan, Majalah Khazanah terbitan Lembaga Muzium Negeri Terengganu mendapat tempat pertama diikuti oleh Infokus dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam. Penerima anugerah masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil penghargaan.

 

Bagi penerima Hadiah Suar Bahasa, Majalah Infokus terbitan Universiti Malaysia Terengganu telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Suar Bahasa 2013 manakala Majalah Integriti keluaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli telah memenangi Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para tetamu kehormat.