AKTIVITI.BM.27.9

Lawatan Kerja Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang

Oleh: Emma & FBI, 17 Sept 2013

 

Pada 18 Syawal 1434H bersamaan 25 Ogos 2013, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang atau Penang’s Chief Minister Incorporated (CMI) telah mengadakan satu lawatan kerja sehari ke Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Lawatan ini adalah bagi menghadiri satu mesyuarat bersama pengurusan kedua-dua perbadanan tersebut yang telah diadakan di bilik mesyuarat utama, Tingkat 6.

 

CMI merupakan sebuah perbadanan yang ditubuhkan pada tahun 2009 bermatlamat untuk mengurus aset bagi pihak kerajaan negeri di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang. Justeru, lawatan ini juga adalah untuk mengetahui teknik pengurusan yang efektif dan sistematik serta mendapatkan informasi berkaitan pentadbiran yang diterap di PMBK bagi memastikan pentadbiran dan pengurusan yang akan dijalankan di CMI berjalan dengan lancar.

Deligasi CMI diketuai oleh beberapa orang pegawai pengurusan perbadanan tersebut manakala PMBK diwakili oleh kumpulan pengurusan tertinggi PMBK. Mesyuarat dimulakan dengan tayangan video korporat PMBK disusuli pembentangan oleh Pengurus Kanan Pembangunan Korporat PMBK, Zuraidah Husin. Beberapa agenda dibentangkan bagi membolehkan pihak pengurusan CMI mendapatkan input-input berguna untuk membangunkan sebuah badan kerajaan yang berdaya saing.

 

Usai mesyuarat, pihak pengurusan PMBK berbesar hati menghadiahkan cenderahati berupa dirham kepada Pengarah CMI dan juga cenderamata kepada pegawai-pegawai pengurusan sebagai tanda terima kasih di atas lawatan tersebut. Lawatan ini berakhir dengan jamuan makan tengahari di Royal Guest House, Kota Bharu.