BERITA.BM.27.9

23 tahun Kelantan berjaya harungi halanganalt

Harakah Daily, Aslani M, 21 Okt 2013

 

KOTA BHARU: Tanggal 21 Oktober 1990 Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan. Dan hari ini genap 23 tahun sejarah itu berlalu.

 

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, bermula detik tersebut satu permulaan era berlaku di negeri Serambi Mekah.

 

“Kelantan serta merta menjadi perhatian, bolehkah Islam mentadbir? Sebaliknya selangkah demi selangkah kita menapak ke hadapan.

 

“Dalam tempoh 23 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya mengharungi pelbagai halangan dan karenah dengan jayanya serta meletakkan asas kukuh dan haluan yang jelas.

 

“Beliau telah meninggalkan satu laluan. Hutan rimba ditebas, semak samun diracun ke akar umbi, rakyat ditanamkan keyakinan cara mentadbir dan memerintah berpandukan hukum syariat,” katanya.

 

Belia berucap pada sambutan 23 tahun dasar Membangun Bersama Islam di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV hari ini.

 

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Abdullah Ya’kub, Pegawai Kewangan, Datuk Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nik Kazin Nik Yusof serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

Program sambutan bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30 pagi tadi. Solat hajat diimamkan Ustaz Nik Razi Nik Mat dari Pusat Pengajian Pondok Kandis.

 

Menteri Besar berkata, tugas beliau bersama barisan pimpinan meneruskan perjalanan dengan membawa visi dan misi yang diasaskan mantan Menteri Besar.

 

Visi kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang terlaksananya nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredhaan Allah.

 

Manakala misi melaksanakan agenda pembangunan negeri dan ummah berdasar ajaran Islam yang syumul melalui pembangunan insan serta perancangan strategik.

 

“Kerajaan negeri telah menggubal satu wawasan bagi tempoh 2013-2018 untuk membolehkan rakyat Kelantan menikmati keberkatan, kemakmuran dan kebajikan, penuh bermaklumat serta hidup sejahtera.

 

“Usaha itu digembling dengan mengoptimumkan hasil menerusi amalan urus tadbir yang cekap, telus dan berintegriti selari dengan visi, misi dan objektif dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

 

Dan gerak kerjanya meliputi usaha dilakukan bagi menguat dan mengembangkan agama, kedua, menggantikan ketakutan dengan keamanan.

 

Ketiga, keluasan kepada rakyat untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT.

 

Kata beliau kerjasama yang utuh jentera pentadbiran negeri amat diperlukan bagi memastikan dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenal 23 tahun lalu kekal menjadi asas dalam gerak penjawat awam.

 

Perlu diingatkan ujarnya, sejauh mana pun kita menanamkan cita-cita dan melakukan gerak kerja, Islam sebagai dasar dan asas tidak boleh dikesampingkan.

 

“Kita tidak gemar bercakap dengan bahasa retorik dan mengumpan dengan keindahan kata-kata sahaja. Kita lebih berminat kepada pelaksanaan janji dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

 

Oleh itu berharap agensi pelaksana di bawah setiap Exco digerakkan secara maksimum bagi memastikan lebih 50 program dan projek yang terkandung manifesto pilihan raya umum lalu dapat dijayakan.

 

“Di samping itu kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini seperti projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti,” katanya.