News Banner Berita Terkini

altTiada keghairahan baru di Kelantan: Nik Amar jawab Dr Agus
Malaysia Insider, Diyana Ibrahim, 10 Ogos 2013

"Dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) mengulas mengenai dakwaan Prof Dr Agus Yusof menyatakan kerajaan negeri tidak melakukan perubahan selepas Pilihan Raya 13 lalu.

Beliau yang membidas kenyataan Prof Dr Agus itu menyifatkan andaian yang dibuat itu hanya ditafsirkan secara semborono dan rambang.

Tambah beliau sekiranya benar kerajaan negeri kering idea untuk melaksanakan perubahan bagi rakyatnya maka tidak wujudlah pengumuman Menteri Besar yang akan melaksanakan pembinaan rumah mampu milik pada bulan Mei lalu.

Menurut beliau kerajaan negeri berusaha menyiapkan rumah mampu milik ini dalam tempoh lima tahun sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PRU 13 PAS Kelantan.

"Malah baru-baru ini kerajaan negeri juga melaksanakan dasar mesra keluarga untuk menempatkan kakitangan dan pegawai yang berkhidmat dekat dengan ahli keluarga mereka jadi adakah dia terlepas pandang perkara begini, "katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau memberitahu projek Lebuh Raya Rakyat dan Stadium itu juga tidak harus dijadikan isu kerana pihak kerajaan negeri kini dalam proses memperhalusi projek tersebut.

Jelas beliau mengenai projek Lebuh Raya Rakyat itu, yang hendak diteliti sekarang ialah dari segi teknikal kerana Kerajaan Pusat juga mengistiharkan akan turut bersama bagi projek tersebut.

"Sekarang ini apabila dia kata begitu saya persoalkan balik apa yang dia mahu kerajaan negeri buat dalam masa 100 hari, dia tidak bolehlah tuduh sebarangan,” tegas beliau.

The Malaysian Insider hari ini ada menyiarkan rencana Prof Dr Agus yang mendakwa tiada keghairahan baru dalam politik Kelantan.

Prof Dr Agus mempersoalkan selepas 100 hari menerajui Kelantan selepas PRU lalu tiada sebarang perubahan dilakukan kerajaan negeri cuma meneruskan dasar lama sahaja.

Malah beliau turut mempersoalkan status projek Lebuh Raya Rakyat dan Stadium yang dikatakan sehingga sekarang masih belum menunjukkan perkembangan pembinaannya.

Bagaimanapun melalui tulisan itu beliau tidak menafikan terdapat perubahan dari segi pengurusan kerajaan tempatan.

"Saya melihat pengurusan kerajaan tempatan, khususnya kebersihan bandar dan hubungan keajaan pusat-negeri adalah lebih baik dari sebelum ini.

"Semoga hubungan tidak lagi tegang dan kerajaan pusat-negeri boleh saling bekerjasama dengan menghormati prinsip persekutuan," kata beliau.