Pakatan Tikus

Written by admin. Posted in Kolumnis

Oleh      : Muhammad Najid Abdullah

 

Beberapa hari lalu saya diceritakan tentang satu kisah teladan. Sebetulnya ia hanyalah kiasan.

Cerita sekumpulan tikus yang sering diganggu oleh seekor kucing. Mereka telah berbincang tentang cara mengelak gangguan.

Setelah lama berbincang seekor tikus bangkit memberikan cadangan.

"Bagaimana kalau kita pakaikan loceng di leher kucing. Bunyi loceng akan memberikan kita isyarat kehadiran kucing. Dengan itulah kita boleh sentiasa bersedia".

Cadangan itu memecahkan kebuntuan. Beberapa ekor tikus yang lain dengan yakin bersetuju. Ramai yang nampak setuju dalam keliru. Lalu ada seekor tikus mengeluarkan satu soalan yang menggemparkan.

"Baiklah. Lalu siapakah dalam kalangan kita, tikus-tikus yang mahu memakaikan loceng di leher kucing. Siapa yang berani?"

Suasana kembali diam. masing-masing menunduk ke bawah dan bertanya sesama sendiri.

Siapa? Apakah ada tikus yang berani memakaikan loceng di leher kucing?

Barangkali memberikan pandangan memang mudah. Namun semestinya pandangan harus datang bersama tanggungjawab.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak (sanggup) melakukannya.”(Assaf; ayat 2 & 3)

Timbang-timbangkan segala bicara. Apa lagi pandangan. Harusnya ada rasa bertanggungjawab atas segala cadangan. Indikator mudah adalah sering tanyakan diri sendiri;

“Apakah aku sanggup melakukan apa yang aku cadangkan?”, jika jawapannya tidak, itu bermakna idea itu tidak lagi rasional sekalipun pada orang lain..

Apapun berfikir secara kreatif dan kritis masih dibenarkan mengikut hukam alam. Islam tidak sesekali menyekat kebebasan berfikir. Apa lagi kebebasan memberikan pandangan. Cuma adalah lebih baik jika mengambil kira kerasionalan dan mengguna pakai ilmu taksir dalam hidup berkomuniti.

Kisah di atas juga bukanlah bermaksud pencadang seharusnya melakukan segala cadangannya, tetapi cukuplah kiranya segala cadangan melalui proses matang dan mengambil kira fakta dan data tepat. Apa lagi kiranya cadangan agar pihak yang lain melakukannya, amat-amat perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab.

Dalam kefahaman teras profesionalisme Negeri Kelantan yang dijadikan teras perkhidmatan PMBK, unsur mas’uliah adalah antara konsep yang baik untuk diikuti.

Mas’uliah adalah merujuk kepada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti. Dalam segenap segi tanggungjawab tidak boleh dilepaskan. Sekalipun hanya sebagai pemberi pandangan dan pihak yang lain yang melakukannya.

Semestinya mereka yang diamanahkan melakukan sesuatu tugasan wajib bertanggungjawab atas kerja yang dilakukan. Yang sering dilupakan adalah tanggungjawab mereka yang memberikan pandangan. Kerana lisan ucapan juga akan disoal kelak di hadapan Allah SWT.

Untuk itu, kefahaman tanggungjawab yang saya maksudkan adalah soal dosa dan pahala. Pandangan secara normal akan beroleh pahala tetapi sesetengah perkara jika tersentuh unsur lain yang tercela akan beroleh dosa.

Ikhlaskan lah diri dalam memberikan pandangan dengan segala taksiran kendiri sebagaimana di atas. Akan ada pahala yang bakal diganjarkan. Jika sebaliknya, dosa pasti bakal menyusul.

Cerita pakatan tikus ini asalnya saya dengar melalui En. Hafizullah Hashim, daripada En. Muhammad Zaini Mustapha. Sekian.