KOTA BHARU, 11 Ogos: Hasrat Menteri Besar membawa pemain pasukan bola sepak Kelantan menunaikan umrah selepas layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lepas menjadi kenyataan  apabila mereka berlepas ke Makkah Sabtu lalu.

Rombongan tersebut diketuai anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Ini inisiatif yang pertama dan terulung yang diberikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas kejayaan pasukan Kelantan muncul naib juara Piala Malaysia.

“Sokongan kerajaan negeri kepada pasukan Red Warriors terbukti meski pun selama ini ada pihak cuba hendak memisahkan hubungan baik di antara kedua pihak.

“Kita sentiasa bersama Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (Kafa) dan pemain, bahkan mendoakan kejayaan buat pasukan Kelantan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Rombongan Kafa disertai seramai 34 pemain dan pegawai. Turut sama ahli Majlis Kafa.

Mereka dijadual bermalam di Kaherah selama tiga hari sebelum menyambut Ramadan di Madinah dan Makkah.

Selain mengerjakan umrah pemain Kafa dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab bola sepak di sana.

Abdul Fattah berkata, usaha pihak tertentu memisahkan hubungan baik kerajaan negeri dengan Kafa tidak menjadi kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri memberitahu Menteri Besar sentiasa mendoakan kejayaan pasukan Kelantan.

“Insentif ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan kerajaan negeri dan pemain-pemain. Pakej umrah ini diharap memberi suntikan semangat baru kepada pemain Kelantan.

“Ibadat umrah dapat meningkat jati diri pemain. Ketika mengerjakan umrah pemain diharap memperbanyakkan tadarus al-Quran,” katanya.

Rombongan terbabit dijangka pulang ke tanah air pada 18 Ogos ini.