Kelantan dilanda banjir besar
Sinar Harian.com.my | ROSALWANI CHE SOH
KOTA BHARU, 17 Nov: Kelantan dijangka menghadapi banjir besar pada tahun ini sekiranya menerima baki taburan hujan sebanyak 40 peratus ekoran perubahan cuaca global yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan, Abu Bakar Mohd Yusof berkata, sekiranya menerima taburan hujan tambahan, beliau tidak menyangkal negeri ini berkemungkinan mengalami situasi terbabit.
“Kita berkemungkinan hadapi banjir besar berikutan beberapa negara jiran termasuk Thailand, Filipina, Vietnam dan Pakistan yang turut mengalami bencana bah luar biasa akibat fenomena itu.
“Sekiranya berlaku bencana terbabit, saya nasihatkan orang ramai agar terus mengikuti perkembangan terkini bagi mendapatkan maklumat berkenaan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tambatan Diraja bagi meninjau paras sukatan air di kawasan terbabit, semalam.
Turut menyertai rombongan beliau, Pegawai Hidrologi JPS Kelantan, Shaari Harun.
Abu Bakar berkata, bagaimana pun setakat ini paras air yang disukat di Tambatan Diraja Kelantan setakat semalam, adalah 0.5 meter, masih dalam keadaan normal.
“Setakat semalam, kita menerima 2,700 milimeter taburan hujan dan purata hujan tahunan yang sepatutnya kita terima sepanjang 10 tahun adalah 3,000 milimeter. Tetapi kita tidak risau kemungkinan banjir disebabkan hujan sebaliknya keadaan air dan gelombang yang luar biasa yang berlaku kini,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengetahui sebarang maklumat mengenai banjir, orang ramai boleh melihat laman web jabatan berkenaan selain Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini setiap satu jam tentang aras air dan berkaitan dengan taburan hujan.