Jika diteliti secara bijaksana, persoalan itu sebenarnya adalah sangat relatif. Malah tohmahan atau anggapan "orang Kelantan terpaksa berhijrah" atau "anak Kelantan harus merantau" semata-mata kerana faktor negeri Kelantan miskin tidak semestinya tepat atau benar.

 

Seorang penulis, Rosli Nik Mat berkata, dalam hubungan ini, satu-satunya soalan paling dasar yang harus dikemukakan dan dijawab, adakah terdapat mana-mana anak negeri lain yang tidak berhijrah untuk cuba mencari peluang rezeki di merata-rata tempat di dalam negara ini?

"Tanpa memerlukan huraian panjang lebar, jawapannya tentulah, "tidak!". Jadi dengan itu, tohmahan dan anggapan sedemikian terhadap rakyat Kelantan secara jujurnya tentulah tidak tepat," katanya.

Namun isu itu tidak pernah menemui noktahnya sejak dulu hingga sekarang. Malah ia sering ditimbulkan dan dijadikan salah satu modal politik yang cukup penting dan popular terutama untuk diperdengarkan menjelang waktu pilihan raya.

"Tidak hanya sekadar suara lantang yang dilaungkan oleh para pemimpin politik dari luar Kelantan, malahan media perdana juga akan ikut menjadi "pak turut" mewar-warkan isu itu," katanya.

Bahkan tidak cukup sekadar itu sahaja. Sesetengah pemimpin politik daripada kalangan anak negeri Kelantan sendiri pun tidak akan segan silu "menahan lukah di pergentingan" untuk turut mengambil kesempatan mempermainkan isu yang sengaja diperbesar-besarkan itu.

Hal itu, menurut beliau, tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata kerana motif ghairah mengejar kepentingan dan kedudukan dalam catur politik.

Dalam tulisannya yang berjudul "Mitos Hijrah Orang Kelantan" yang dimuatkan dalam majalah Qiadah terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, keluaran Ramadhan-Syawal 1432 Hijrah yang diedarkan secara percuma, beliau merumuskan, sebaliknya hakikat sebenar orang merantau termasuk yang membabitkan anak Kelantan termaktub atas lima sebab.

Pertama, bersemangat kental. Kedua, berani mencari dan merubah pengalaman. Ketiga, tegar menghadapi dan mengatasi risiko. Keempat, ingin mengejar dan merealisasikan sesuatu cita-cita. Kelima, bijak mengambil peluang, pasti akan sanggup menimba rezeki dan sebagainya walau di ceruk mana sekalipun.

Katanya, oleh itu, bukan hanya orang Kelantan, malah mana-mana anak negeri lain pun akan turut berada di segenap ceruk dan pelosok tanah air jika mereka ingin mengambil langkah berhijrah, berdasarkan sebarang faktor yang disebutkan itu.

"Jika kini, anak Kelantan atau mana-mana anak negeri lain sekalipun berhijrah atau merantau ke mana-mana ceruk tanah air, hakikatnya bukanlah kerana faktor negeri asal mereka sangat miskin.

"Sebaliknya sebagaimana dijelaskan itu, mereka sebenarnya adalah golongan individu yang bersemangat kental, berani mencari dan merubah pengalaman, tegar menghadapi dan mengatasi risiko, ingin mengejar dan merealisasikan sesuatu cita-cita serta bijak mengambil peluang," jelasnya.

Oleh itu, tanpa mempedulikan mitos hijrah yang sering ditohmahkan dengan apa alasan sekalipun terhadap rakyat Kelantan, mereka akan tetap mengintai peluang dan menimba rezeki walau di ceruk mana sekali pun di tanah air ini.

Berhubung tohmahan kononnya Kelantan ketinggalan dalam pembangunan, usahawan terkemuka Kelantan yang berjaya di luar Kelantan, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hissamuddin Yaacub mengakui dari segi fizikalnya dakwaan itu betul, tetapi orang Kelantan tidak susah kerana mereka mempunyai jati diri dan keusahawanan yang tinggi.

"Sebab itu kita tengok di mana sahaja di Kelantan ada orang menjual. Setiap 100 meter, di Jalan Pengkalan Chepa, misalnya, ada orang perempuan duduk di belakang periuk, menjual. Fenomena ini tak ada di tempat lain.

"Kalau tengok rumah-rumah di Kelantan, saya kira (fikir) di Kelantanlah paling banyak banglo yang sudah terbayar, bukan hutang bank, yang dimiliki oleh orang Melayu.

"Pasal apa? Tanah dia sendiri, dia beli barang sendiri, dia upah orang buat. Begitu juga kereta Mercedes dan sebagainya banyak di Kelantan. Ertinya dari segi ekonomi tempatan, saya salute mereka," katanya.   

Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi  dalam sebuah esseinya yang dihasilkan pada tahun 1984 menjelaskan bahawa orang Kelantan/Pattani sejak dahulu sampai sekarang suka merantau dengan berbagai-bagai tujuan, mengadu untung, mencari tempat kediaman baharu, meneroka hutan belantara, menuntut ilmu, mengajar dan berdagang.

"Pada zaman dahulu, mereka belayar jauh (dengan hanya menggunakan perahu) perahu pinis ke Palembang, Aceh, Jawa, Kalimantan, Bangkok, Saigon, Kemboja dan juga Sulawesi.

"Sehingga kini, kekayaan hasil sumber negeri dan ditambah lagi oleh kemahiran anak negeri Kelantan dalam pelbagai aspek yang boleh dijadikan peluang dalam sektor niaga, memberikan dan membuka peluang luas pintu rezeki.

"(Itulah sebabnya) sebagai contoh, salah satu caranya ialah orang Kelantan akan membawa hasil niaga daripada sumber kekayaan dalam negeri dan hasil kemahiran dalam pelbagai aspek ini ke luar Kelantan untuk menjangkau pasaran yang lebih luas," katanya.

Contohnya, tambah Abdul Rahman, Kelantan sangat terkenal dengan sektor niaga berasaskan kesenian seperti batik dan songket, ketukangan emas, perak, tembaga dan besi, ukiran kayu dan lain-lain lagi.

Tidak hanya berniaga di dalam negeri, orang Kelantan juga gigih berhijrah dan merantau ke segenap pelosok tanah air unrtuk memasarkan semua bahan niaga itu. Bukan sahaja secara besar-besaran, malahan juga akan sanggup memasarkannya di pasar malam, menjaja, hatta secara bayaran ansuran bulanan.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa