Kelantan bina kilang air mineral di Jeli

Ditulis oleh Super User. Posted in Uncategorised

>

Penggunaan air semula jadi atau lebih dikenali sebagai air mineral semakin meluas dan ia amat popular pada masa kini. Sehubungan dengan itu, Syarikat Sihhat–Afiat Sdn Bhd ( Sihhat ) adalah syarikat usahasama antara Tabb Global Sdn Bhd dan Kelantan Utilities Mubarakan Holding Sdn Bhd (KUMH) telah menorakai bidang ini.

Kilang yang akan dibina di Batu Melintang, Jeli ini bakal melakar satu sejarah baru bagi Negeri Kelantan kerana ia akan merupakan kilang pertama bagi pengeluaran, pembotolan dan pembungkusan air mineral semulajadi.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Sihhat – Afiat Sdn Bhd, Dato’ Husam Musa, pemilihan tapak kilang air mineral semulajadi di kawasan tersebut adalah atas gabungan nasihat pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan dan Perunding Geologi syarikat Sihhat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan Kilang Air Mineral Semulajadi yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar, Mejar (B) Dato’ Anizam Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK Ir Hj Mustafa Salleh, Pengarah Urusan Kumpulan KUMH Ir Hj Fauzi Abdullah dan Adun Ayer Lanas Abdullah Yakob.

Husam juga berkata dengan adanya kilang yang terletak di pinggir jalan yang menghubungkan dua negeri iatu Kelantan dan Perak tersebut akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menurut beliau lagi pada peringkat awal dua telaga tiub telah dibina dengan kedalaman tidak kurang 120 meter dan ia memberi kadar luahan yang mencukupi dan menepati standard air mineral yang digariskan oleh jabatan yang berkaitan.

“Kerajaan telah meluluskan seluas 10 ekar tanah bagi tujuan pembangunan industri pengeluaran air mineral di Jeli ini” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan ucapannya berharap rakyat negeri ini akan sentiasa menghargai air yang dianugerahkan oleh Allah dan ia tidak seharusnya dibazirkan.

Beliau juga berkata dengan adanya pembinaan kilang memproses air mineral tersebut, yang menggunakan air bawah tanah, menggambarkan kerajaan begitu perihatin terhadap punca air dan ia akan dimnafaatkan sebaik mungkin bagi kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, Kelantan sekali lagi melalui anak syarikat kerajaan dapat melangkah ke hadapan bagi mencari punca pendapatan untuk negeri ini dan ia akan dapat meningkatkan lagi pendapatan negeri” kata beliau.

Di majlis yang sama, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada warga emas di Batu Melintang yang disediakan oleh KUMH.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa