Banner Article 02

umkkumh

UMK bantu Kelantan pertingkat kecekapan guna teknologi hijau
Hazira Ahmad Zaidi - Berita Harian, 17 April 2019

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi hijau, khususnya dalam pelupusan sisa sampah dan penggunaan plastik berasaskan petroleum di negeri ini.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata melalui kerjasama itu, pihak UMK akan sedaya upaya membantu kerajaan negeri dalam membangunkan dasar sifar sisa di Kelantan.

UMK, katanya, melalui Fakulti BioKejuruteraan dan Teknologi (FBKT) sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kelantan Utilities Mubaraakan Sdn Bhd (KUM), anak syarikat Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang terbabit dalam industri berkaitan utiliti.

Beliau berkata, perjanjian dimeterai semalam itu bagi menyediakan pelan induk Pembangunan Mampan Teknologi Hijau Negeri Kelantan untuk Kelestarian Bandar Pintar.

Noor Azizi mewakili UMK menandatangani MoU terbabit, manakala KUM diwakili Pengarah Eksekutifnya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Abdul Rashid Mohd Yusoff.

“MoU ini dijangka dapat memberi manfaat kepada rakyat Kelantan dalam memastikan negeri ini bebas daripada sampah sarap terutama plastik,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu sebagai permulaan bagi UMK dan kerajaan negeri untuk menjalankan kajian secara menyeluruh terhadap potensi menggantikan bungkusan plastik termasuk beg plastik dan bekas polisterina dengan plastik biodegradasi.

Pada masa sama, katanya, kerjasama itu sebagai persediaan mencari alternatif bagi plastik berasaskan petroleum untuk industri biodegradasi yang perlu dikembangkan.

“Kita perlu memastikan industri ini dapat dimulakan dan dibangunkan dengan lancar. Kerjasama ini membabitkan penyelidikan secara kolaboratif di antara KUM dan UMK bagi melaksanakan penyelidikan serta inovasi produk nilai tambah daripada hasil biodiversiti yang ada di negeri ini.

“Ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan UMK pada masa depan dari segi penyelidikan bersama,” katanya.

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa