News Banner Berita Terkini

altAhmad mahu perantau utamakan keselamatan
Wartawan Sinar Harian    5 Ogos 2013

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengharapkan semua perantau mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.  

“Kepada anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya nanti, hati-hati dalam perjalanan dan juga seharusnya menjaga diri sepanjang berada di jalan raya.  

“Saya mendoakan semoga semuanya tiba dengan selamat dan pulang semula nanti dengan selamat,” katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri semalam.

Beliau juga turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua penduduk yang meraikan lebaran di Malaysia khususnya untuk rakyat negeri Kelantan.  

Sementara itu,  Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan agar umat Islam tidak terlalu ghairah membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Beliau menyeru agar menjadikan peristiwa di Mesir dan Syria sebagai pengajaran selain bersyukur masih berada di bumi yang aman dan harmoni.

“Kita menyambut Syawal dalam keadaan saudara-saudara kita di Mesir sedang berdepan dengan rampasan kuasa yang sungguh menyayat hati.

“Sekalipun demokrasi mengesahkan kemenangan kerajaan pilihan rakyat, namun muncung senapang sekali lagi menjadi senjata sekular untuk menidakkannya (demokrasi),” katanya kelmarin.

Menurutnya, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari lagi, jangan lupa untuk memohon agar Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam Mesir dan Syria malah seluruh dunia.

“Semoga Ramadan yang berlalu berjaya memahat nilai takwa dalam sanubari kita.

Semoga Syawal yang tiba juga berjaya mengembalikan kekuatan rohani hasil tarbiah selama sebulan (Ramadan),” katanya.

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa