mb mad 2Kelantan Pertahan Kuota Anak Tempatan
HARAKAH DAILY, 9 Februari 2015

KOTA BHARU: Kelantan akan memastikan kepesatan pembangunan hartanah di negeri ini seiring dengan kemampuan penduduk tempatan untuk memiliki aset tersebut.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, penduduk tempatan terutamanya Bumiputera hendaklah memanfaatkan sepenuhnya kuota 70 peratus dengan memiliki aset yang ditawarkan.

Katanya, anak-anak Kelantan hendaklah merebut peluang tersebut melalui kepesatan pembangunan hartanah di negeri ini sekarang.

“Kita tidak mahu ruang hartanah yang ditawarkan terlepas pula kepada pihak lain biar pun kuota bukan Bumiputera ditetapkan kira-kira 30 peratus,” katanya pada program Ucap Tama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Kelantan, Shahidani Abd Aziz, anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Dr Wan Zawawi Wan Salleh.

Pembangunan hartanah di Kelantan agak pesat kebelakangan ini di mana pemaju dengan kerjasama agensi kerajaan negeri berminat membina kondominium, hotel dan ruang perniagaan.

Bandar Baru Lembah Sireh, Kubang Kerian dan Tunjung menjadi lokasi strategik pembangunan baru di jajahan Kota Bharu.

Ustaz Ahmad juga berkata, PMBK diwujudkan antara lain berperanan bagi memastikan hak milik orang Melayu tidak terlepas ke tangan bangsa lain.

“PMBK perlu mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu daripada berpindah ke tangan orang lain. Agensi itu perlu memainkan peranan bagi memastikan hak orang Melayu terus dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memastikan penduduk tidak membina rumah di kawasan tebing sungai bagi mengelakkan kesan negetif kepada pemuliharaan sungai.

Menurutnya tebing-tebing sungai yang terhakis menyebabkan banyak kelodak mendap dalam sungai sehingga menjejaskan aliran air.

“Begitu juga kesan daripada aktiviti perlombongan dan pertanian akan dipastikan tidak menjejaskan kualiti sungai.

“Larangan membina rumah di tebing sungai bukan perkara baru, sebaliknya tidak ramai yang mengendahkan sehingga datang banjir besar yang menyebabkan banyak harta benda musnah,” ujarnya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa