mbairpercumaAir Percuma Selama Sebulan
SINAR HARIAN, 4 Januari 2015

RANTAU PANJANG – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menawarkan bekalan air bersih percuma sebanyak 30 meter padu kepada penghuni kediaman di seluruh Kelantan.

Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Datuk Ahmad Yakob berkata, bekalan percuma maksima 30 meter padu air atau 30,000 liter air bersamaan RM19.00 ini melibatkan penggunaan pada bulan Disember lalu ini bagaimana pun tidak melibatkan rumah kedai, perniagaan dan kilang perindustrian.

Sebelum ini katanya, bantuan air percuma hanya diberi kepada mangsa banjir sahaja, namun memikirkan keperitan yang dihadapi rakyat, kemudahan sama akan diberi kepada semua penduduk di Kelantan.

“Bekalan percuma ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melibatkan seramai 230,000 pemegang akaun AKSB atau 1.15 juta pengguna seluruh Kelantan.

“Dari jumlah itu, hanya 65 peratus kawasan belum menerima kemudahan tersebut kerana berlaku kerosakan paip akibat banjir,” katanya.

Ahmad berkata, 100 peratus kawasan di Pasir Puteh dan Bachok sudah menerima bekalan air bersih.

Selain itu katanya, sebanyak 98 peratus pemegang akaun di Tanah Merah, 90 peratus di Kota Bharu, 78 peratus di Gua Musang, 74 peratus di Jeli, 56 peratus di Tumpat, 19 peratus di Kuala Krai dan 14 peratus di Pasir Mas sudah menerima bekalan.

Katanya, bekalan air belum disalurkan kepada pengguna di Machang namun kerja membaik pulih giat dijalankan dan pihaknya menjangka masalah itu dapat diselesaikan dalam masa 10 hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 26 tangki air disalurkan kepada kawasan kritikal terjejas banjir antaranya hospital dan pusat rawatan.

“Bantuan ini merupakan salah satu alternatif AKSB membantu menyelesaikan keperluan air di kawasan terjejas banjir,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa