Mimpikan Yang Indah Saja

Ditulis oleh Muhammad Najid Abdullah. Posted in Kolumnis

Acara kanak-kanak sempena Majlis Perasmian Karnival Sukan PMBK & Kumpulan 2015 sabtu lalu memberikan saya pengalaman baru dalam penerokaan dimensi minda. Mestinya setiap perkara baru akan menjadikan kita berfikirsecara lama.

Saya dibayangi hampir tiga hari telatah kanak-kanak bermula dari arahan mengambil tempat dalam pertandingan sehinggalah ke acara penyampaian hadiah. Saya namakan bayangan yang hadir sebagai proses berfikir berkaitan psikologi kanak-kanak.

Sememangnya anak-anak dilahirkan suci bersih. Benarlah hadis nabi SAW dalam kitab Hadis Riwayat Muslim bilangan (2658):

Daripada Abi Hurairah RA; Nabi SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dengan sifat fitrah. Maka ibu bapa lah yang mencorakkannya samada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.”

Yang dimaksudkan dengan fitrah dalam hadis ini mengikut tafsiran ahli tafsir (Imam Nawawi dalam Kitab Syarah Sahih Muslim) adalah agama Islam atau cara hidup Islam. Anak-anak kecil bersih dari sebarang noda.

Secara psikologinya anak-anak ini kain putih yang bersedia dicorakkan. Umpamanya seperti pertandingan mewarna. Kertas putih bergambar yang bersedia untuk diwarnakan. Itulah mereka, anak-anak kita.

Nawawi (Al-Imam) mentafsirkan yahudi, nasrani & majusi adalah agama anutan. Tafsiran falsafah pula mentafsirkan perincian cara hidup beragama yang diperkenalkan mereka sekalipun tidak menganuti agama secara jelas. Wal-iyazubillah.

Ikutan cara hidup yahudi, nasrani dan majusi juga menjadi kebimbangan dalam pendidikan anak-anak. Cara hidup yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam.

Bagaimana boleh bersatu agama fitrah iaitu Islam dengan agama-agama lain sebagaimana tidak bercampurnya air dan minyak. Jika sekalaipun boleh dimasukkan bahan asimilasi (contoh mudah sabun) untuk memisahkannya, ia sebenarnya merosakkan  sifat keduanya. Air tidak dipanggil air lagi dan minyak sudah terasimilasi dengan air dan tidak boleh digunakan.

Itulah fitrah agama. Ia berdiri sendiri dan tidak boleh menumpang yang lain. Begitulah pendidikan anak-anak. Secara solidnya perlu diaturkan ajaran Islam walau dengan variasi cara mengikut kesesuaian.

Sebenarnya butir-bicara saya hanya mahu berfokuskan kepada peristiwa yang berlaku sejurus penyampaian hadiah. Selepas daripada pengumuman pemenang. Pelbagai ragam anak-anak yang secara spontan ditunjukkan dalam menerima hakikat keputusan pertandingan mengikut naluri bersih mereka.

Biasalah kanak-kanak. Jika dua beradik, salah seorang memenangi pertandingan, seorang lagi pastinya menunjukkan reaksi sedih. Tanpa selindung. Menangis ditempat itu juga. Jika ada yang berkawan baik, salah seorang yang menang akan mempamer kesedihan.

Pada saya naluri sedih itu biasa. Cuma anak-anak dengan usia sebegitu belum mampu mengawal emosi. Kesedihan bukan bersebab dengki kerana emosi kanak-kanak tidak mampu mentafsir perkara senegatif itu.

Cuma kesedihan itu barangkali reaksi spontan atas kegagalan. Ia berkait emosi. Ada ibu bapa yang memujuk dengan menawarkan janji membelikan hadiah sepeti yang diperolehi pemenang.

Ada juga memujuk dengan cara lain seperti membiarkan anak-anak larut dalam tangisan. Dengan harapan air mata akan menghilangkan kesedihan.

Tidak kurang juga yang secara jelas memperihalkan cereka kehidupan atas kaca mata realiti. Mahu anak-anak lebih realistik dengan kehidupan. Berceramah tentang persiapan menerima kegagalan kerana menang dan gagal adalah adat pertandingan; dan sebenarnya itulah kehidupan.

Saya pula terusan berfikir tanpa membuat hukuman, cara mana yang paling layak diberikan pujian. Saya percaya ibu bapa mengenal hati budi anak-anak mereka. Ada ketika teori psikologi ditebar rawak. Yang berhak memilih untuk diguna pakai bagi kebaikan anak-anak adalah ibu bapa mereka.

Sedang saya pula adalah bapa yang memiliki anak perempuan yang hanya berusia genap setahun pada 18 April ini. Kata Fyn Jamal dalam lirik lagunya;

Tidurlah Arjuna Beta, mimpikan yang indah saja. Nanti bila kau buka mata, dunia tak serupa.

Sekian.

Oleh   : Muhammad Najid Abdullah

22 Jamadil Akhir 1436 / 12 April 2015

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa