Workaholic vs Wordaholic

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

11 Januari—bermulalah sesi pengajian bagi tahun 2015. Kakitangan yang bercuti pula rama bagi menghantar anak-anak ke sekolah. Samada di pra-sekolah, sekolah rendah mahupun menengah. Seakan terlupa bencana banjir yang berlaku seketika. Inilah namanya kehidupan.

Anak-anak pula pastinya variasi. Yang kecil mahupun besar. Pelbagai ragam pula jenisnya selepas lama bercuti. Ia biasa.

Saya telah hampir lupa bagaimana saat setiap kali permulaan sesi sekolah. Perasaan itu yang saya lupa atau barangkali semuanya. Sudah lama dan lagi berusia begitulah keadaannya. Lupa dan lupa. Memori pergi dan harapan silih berganti. Itulah kehidupan.

Saya jangkakan sesi persekolahan terutama di Kelantan bagi tahun 2015 bermula dengan penuh harapan. Setelah berpenat mengharung keperitan tragedi banjir saya rasakan inilah saat kebangkitan.

Padamkan segala memori kesedihan. Yang lepas usah lagi dikenang. Bergerak seiring masa, meluru kehadapan. Mulakan sesuatu yang baru dengan penuh tenaga. Meratap dan menunggu sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana.

 Workaholic vs wordaholic

(Tekun kerja lawan hanya cakap)

 Dalam menekuni imbasan sejarah 2014 dan melakar harapan 2015 saya mahu mulakan dengan dua frasa kata. Workaholic dan wordaholic;

1. Mereka yang kuat bekerja dan punya azam yang tinggi

2. Mereka yang hidup bersumberkan kenangan dan hanya bercakap.

Kedua-dua pada saya ada dimana-mana. Ia sebahagian dari kehidupan. Atas kudrat manusia, siapalah kita untuk menerima hanya satu atau menolaknya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menyedarkan individu insan baik buruk keduanya.

Kitalah yang memilih diri sendiri untuk mengambil sikap yang mana. Mahu menjadi "workaholic" atau hanya meletakkan diri sebagai "wordaholic". Dalam urusan harian pastilah kita berdepan dengan keduanya.

Konflik dalaman diri sahaja sudah perlu diputuskan mana satu yang mahu dianuti. Apatah lagi bila berkait dengan orang lain. Ia termasuk dalam hal kebebasan memilih untuk menjadi diri sendiri. 

Ya. Manusia memangnya bebas namun ikatlah sedikit dalam acuan yang Allah SWT tentukan.

Firman Allah SWT, yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami ciptakan manusia daripada titusan air mani yang bercampur, yang kami ujinya dengan perintah dan larangan. Kerana itu jualah kami jadikan dia mendengar dan melihat (supaya berfikir)" (Surah Al Insan ayat 2)

Dalam surah yang lain, yang bermaksud;

"Bukankah kami telah memberi kepadanya dua biji mata, lidah dan sepasang bibir. Kami juga telah tunjukkan dia jalan." (Surah Al Balad: 8 - 10)

Kuasa memilih ada dimana-mana. Mahu menjadi yang bagaimana? "Walk the talk" atau "talk the talk".

Dalam surah yang lain, firman Allah SWT yang bermaksud:

"Bekerjalah, nescaya Allah akan melihatnya (mengganjarkan pahala), juga Rasulnya dan seluruh mereka yang beriman pasti melihatnya dan kamu akan pasti dikembalikan kepadaNya..." (At Taubah: 105)

Saya hanya bercerita tentang dua keadaan. Mahu hidup dalam kenangan atau terus mara kehadapan. 2015 pastinya ada sinarnya yang tersendiri sekalipun pelbagai teori negatif diramalkan. 

Berdirilah memanjat kehidupan. Di saat kaki-kaki keduanya berat kebasahan, tangan-tangan masih mampu menguis dan melonjakkan pencapaian. Kerana manusia hidup untuk masa sekarang, berbekalkan segunung harapan dan sedikit sahaja kenangan sebagai teladan, itupun jika perlu.

Teruslah melangkah!

Muhammad Najid Abdullah

Eksekutif Pembangunan Latihan

Unit Pembangunan Manusia

Jabatan Sumber Manusia Dan Pentadbiran

Perbadanan Menteri Besar Kelantan

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa