Allah Tidak Mati

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

Jika dihitung nikmat sekian lama, sekecil ujian tidak mampu memadamkan kewajipan syukur seseorang. Itu barangkali hakikat yang perlu ditelan. Sekalipun ia agak sukar dimengertikan.

Nan begitu. Telah berlalu 10 hitungan silih ganti bulan matahari tragedi. Ia menjadi sejarah limpahan banjir yang digelar "tsunami darat 2014". Seolah-olah tirai 2015 dibuka ganas.

Pergilah duhai duka. Usah lagi menyantun jiwa yang tersiat luka. Sekalipun mampu menangis air mata darah, yang telah berlaku akan pergi sebagai sejarah. Pergilah duhai nestapa. Jangan terusan diruntun nubari rasa seksa.

Andai terdaya memutarkan masa, nescaya Nabi Allah Nuh AS akan melakukannya dahulu kala. Inilah lumrah alam yang disunnahkan. Manusia tidaklah lebih dari sekudrat tenaga-idea yang diberi nyawa mentadbir dunia mengikut kehendak Tuhan. Tidak punya apa-apa kuasa luar biasa.

Saya menjejakkan kaki ke Kg. Manek Urai sejurus diberitakan laluan boleh dikenderai. Untuk menyantuni dan memberikan hak bonda mertua. Berada selama 5 hari di Manek Urai, menjadikan saya hyper-retina-gegendang. Apa yang saya lihat dan dengar benar-benar menjadikan otak kaku terdiam. Sekalipun kaki dan tangan berhempas dengan selut-lumpur sehari-harian.

Disepanjang laluan, sebegitu banyak kemusnahan. Sesekali si isteri menjerit terkejut kerana katanya rumah kawan lama musnah. Tercabut sana sini dinding dan bumbung. Ada rebah menyembah bumi. Yang senget dan condong itu biasa sepanjang dilihat mata.

Ada yang berkata ini tsunami kecil. Cara sahaja berlainan tapi kemusnahan itu digambarkan menyamainya. Ada yang berkata perumpamaan ini keterlaluan. Secara nisbah saya bersetuju ia tidak sama tetapi keperitan dan nilai kesusahan mengikut kadar sebelumnya, ia boleh dipersetujukan.

Saya mentelaah siri teladan yang boleh dicatatkan. Secara peribadi saya terhak membuat catatan mengikut apa yang dilihat dan didengar. Terutama apa yang dikumpulkan oleh bonda mertua sepanjang 5 hari bersama sekampung kawan-kawan di pusat pemindahan. Juga saudara mara yang saya jumpai.

Saya simpulkan tanpa penjelasan sebagaimana berikut:

  1. Erti tawakal mutlak pada Allah
  2. Kerjasama dan membahu-bantu
  3. Toleransi bermasyarakat
  4. Semangat juang
  5. ikhtiar hidup

Ya. Melihat kemusnahan dan suram wajah kecewa bukanlah suatu yang selalu dapat dielakkan. Dalam keadaan sebegini, wajah-wajah sarat derita ada dimana-mana.

Dari tangisan si kecil hingga cuak yang terpancar dari mata si tua. Derita jiwa yang bukan sengaja direka buat. Ia hadir dari sekitaran yang memaksa kesusahan menekan jiwa manusia yang diuji kemusnahan harta benda, malah ahli keluarga.

Saya hanya boleh berbicara dari kaca mata Manek Urai. Walhal barangkali ada lagi kisah yang lebih tragis. Mungkin sukarelawan yang hadir di serata ceruk kawasan boleh konsikannya juga. Sebagaimana Majalah 3 siarkan.

Namun begitu, izinkan saya menutup sedikit sengsara. Saya paling terkesan melihat kegembiraan penduduk yang terlibat kemusnahan, tersenyum gembira saat menerima bantuan. Sehingga saya juga mampu tersenyum.

Pada saya bukanlah sangat nilai bantuan diterima di saat ini tetapi yang lebih penting adalah jiwa yang lahir dari pemberian. Di kala semua keperluan fizikal harian dipenuhi, manusia terseksa jiwa perlukan sokongan. Yang kita gelarkan sebagai sokongan moral dari barangan dan kebersamaan.

Kehadiran bantuan yang bergelar kerajaan atau sukarelawan tidak penting untuk di'tagging'-'sharing'. Tetapi kehadiran insan-insan ini sebenarnya terlalu penting untuk menguatkan kembali keyakinan dan memberikan sinar harapan. Seolah-oleh mereka tidak sendirian dalam menempuh zulumat-pekat kehidupan. Sekurang-kurang ada cahaya dihujungnya memberi harapan.

Pelbagai barangan bantuan dan solidarity dipamer-salurkan. Caranya variasi mengikut kemampuan dan kreativiti. Tinggal lagi yang masih kurang adalah usaha untuk mengembalikan keyakinan dan semangat mereka yang kehilangan segala-gala.

Ada suatu frasa kata yang mengesankan ketika saya meneliti perjalanan Banjir 2014;

"Di saat kita dalam kesusahan, yakinlah Allah akan hantarkan bantuan dalam bentuk yang tidak pernah kita fikirkan"

Psikologi rohani perlu dipulihkan disamping bantuan fizikal. Keyakinan "Tuhan Tidak Mati" perlu terus berjalan. Ujian ini bukanlah pembuka kukufuran. Ia sebenarnya pembersih dosa dan pembuka kesyukuran. Redha dengan ketentuan, sabar atas kejadian dan sedari diri hamba kepada Tuhan.

Takziah saya rakamkan buat yang kehilangan nyawa anggota keluarga, harta benda dan trauma seksa kesusahan.

Tahniah tidak dilupakan buat kakitangan PMBK yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Skuad Sukarelawan Mahabbah PMBK 2014. Kredit penghargaan seharusnya diberikan tanpa saya sebut nama seorang perseorang.

Dari atas ke bawah. Semua terlibat. Sekalipun tidak disebut nama, saya doakan keikhlasan tuan/puan akan disebut ulang oleh makhluk di langit sekalipun manusia dunia enggan melihatnya.

Sungguh. Allah segala-galanya. Dia hidup dan tidak akan pernah mati. Selama-lamanya.

Muhammad Najid Abdullah
Eksekutif Pembangunan Latihan
Jabatan Sumber Manusia Dan Pentadbiran

15 Rabiul Awal 1436/6 Januari 2015

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa