Ertikan Bahagia Dengan Pengorbanan

Oleh : MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

 

Aidil Adha memberikan kemuliaan kepada "an'am" (binatang sembelihan berkaki empat) lantaran darahnya dialirkan untuk pensyariatan ibadah. Sembelihan yang diiringi niat sebagai ibadah korban yang disunat muakkadkan kepada umat islam.

Dalam keadaan biasa, bukan Aidil Adha, "an'am" ini juga disembelih sebagai makanan tetapi aliran darah itu dianggap biasa. Hanya sekadar memenuhi keperluan manusia.

Bertuahlah "an'am" yang dijadikan korban. Mengikuti jejak nabi Allah Ismail AS. Berani hatinya demi iman untuk dijadikan sembelihan ayahanda sendiri atas arahan Allah SWT. Lalu Allah gantikan kibasy sebagai sunnah teladan.

Firman Allah SWT:

 

“Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.”

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, nabi Ibrahim AS berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

“Serta Kami menyerunya: "wahai Ibrahim!”

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian Yang nyata;”

“dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan Yang besar;”

“dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:”

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".

“Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

“Sesungguhnya nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.” 

(Surah Assaffat ayat 101 hingga ayat 111)

 

Inilah susur galur ibadat korban yang menjadi sunat muakkad kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Aliran darah yang disunnahkan kepada Ismail AS dengan gantian binatang sembelihan dari Allah SWT.

Syariat pengibadatan ini dimonumenkan sempena hari raya Adha, setiap 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebagai memperingati peristiwa agung ini. Nukilannya di dalam Al-Quran dan syariatnya penuh hikmah teladan selain dari pensyariatan  ibadah haji.

Perjalanan hidup manusia yang penuh liku cabaran dan demi perintah Azzawajlla Rahman lalu pengorbanan adalah dituntut sebagai manifestasi keadilan. Untuk mendapatkan kebahagiaan di Akhirat nanti memerlukan usaha yang bukan sedikit dan ia digelar pengorbanan.

Lantas dalam kehidupan pastikan ada kematian. Manusia lahir, hidup dan akhirnya meninggalkan dunia ini untuk beralih ke alam lain yang dijanjikan. Itulah keyakinan yang menjadi tulang belakang mengikat iman

Soalnya keyakinan ini bersifat maknawi (hear-say) sebagaimana panduan yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Tidak Nampak dengan mata kasar tapi mata hati perlu menyakini kewujudan alam selepas kematian. Itulah namanya iman. Firman Allh SWT:

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari Akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Annisa’ ayat 136)

 

Nah, beruntunglah manusia yang lahir dan hidup berjuang lalu mati mulia dengan syahid terbilang. Untuk hidup berjuang bukanlah sesenang ucapan. Ia dihalang hawa nafsu dan kemahuan.

Itulah sunnah keadilan Tuhan. Untuk mendapatkan sesuatu yang terbilang memerlukan pengorbanan. Menukarkan keinginan melampau yang memijak syariat serta disokong nafsu kemahuan dengan kebahagiaan kekal abadi di Akhirat nanti yang dijanjikan adalah sesuatu yang sukar. Sepayah kita mengatakan tidak pada kemaksiatan.

Hiduplah dalam waspada takwa dan keimanan. Sesekali lakukanlah pengorbanan untuk tidak menurut nafsu kemahuan yang menghala ke Neraka Jahannam. Sekalipun sukar tapi mujahadah kesungguhan pastinya jalan mulia dalam kehidupan dan tentunya akhir kehidupan adalah terbilang. Untuk itu, hiduplah berumahkan syariat dan bernutrisikan dosa pahala.

Dalam secebis kalam tulisan pasti terselit resah gundah, apakah ini kata-kata yang tidak dibikin-buat? Bermaafan sesama insan dan ampunkan kami Ya Rab.

"Selamat Hari Raya Korban"

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa