Sejauh Kaki Berlari

Dunia sejak dahulu kala, asal tatkala seakan sama. Stereotaip dan klise ragamnya. Penuh variasi. Dari zaman ke zaman, masa ke masa.Diwarisi hingga ke hari ini.

Al-Quran banyak menukilkan catatan sirah umat terdahulu yang penuh warna sebagai pengajaran. Antaranya ulangan kisah Nabi Musa dan Isa AS dalam Surah As-Saf ayat 5 dan 6:

“Dan (ingatlah peristiwa) ketika nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! mengapa kamu menyakiti aku, sedang kamu mengetahuibahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu?" maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran Yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.”

“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, Iaitu kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!"

Nah, inilah bahasa Al-Quran yang saraf pengajaran. Imbasan kisah terdahulu bagaikan siri episod drama yang bersambungan, memperihal kisah-kisah teladan. Jika Al-Quran boleh memasukkan genre “flash back” atau sekuel suri teladan kehidupan, kenapa tidak kita hari ini.

Ya, dunia ini bagaikan berputaran. Hanya gambaran metefora pusingan namun hakikatnya bukan. Hakikatnya sirah dunia tidak berhak dan tidak sesekali boleh mengulangi dirinya. Tetapi sikap manusia disepanjang zaman akan menjadikan sirah itu nampak berulang-ulang dalam cereka yang sama sekalipun manusia tidak serupa.

Sungguh dunia ini telah tua. Walau lewat usianya namun terus muda jiwanya dengan pelbagai gelagat manusia. Hakikatnya manusia tidak tua-tua. Disepanjang jalan kehidupan pastikan berulang sedutan sirah bagaikan siaran Astro, macam-macam ada dan berulang-ulang tayangannya.

Dalam titik penting kehidupan kali ini saya mahu sebutkan hanya tiga perkara;

1. Kembalilah kepada titik penting anugerah terindah iaitu hidayah Allah SWT yang bernama syahadah. Hanyasanya keyakinan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad adalah Rasul Allah yang diutuskan membawa risalah kebenaran. Insafi anugerah pilihan Allah ini dengan perkemas anutan akidah demi Azzawajalla Rabbi.

2. Kembalilah menginsafi hakikat tujuan manusia dihidupkan. Kalaulah sekiranya manusia diciptakan hanya untuk tujuan makan, minum dan keseronokan semata-mata, apakah dan dimanakah keadilan Tuhan dalam penciptaan haiwan dan tumbuhan? Sudah tentu jawapnya Allah Maha Adil dan Bijaksana menciptakan manusia dengan ciptaan akal dan beban tanggungjawab memakmurkan dunia dan segalanya akan diadili kelak di Akhirat Mahsyar. Pilihlan untuk hidup berjasa dan akhirnya mati mulia.

3. Kembalilah mengerti akan tata-etika dan akhlak terpuji dalam segala gerak tindak. Semestinya budaya hidup, orientasi pengajian, pola pemikiran dan sosio-ekonomi seseorang akan mencorakkan seluruh hidupnya. Sekalipun kita boleh berbeza namun apa salahnya kita kembali kepada asas tata-etika dan akhlak mulia sesama manusia iaitu ikhlas bersaudara sebagaimana sabdaan nabi SAW: "Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari & Muslim). Jika asasnya begini, sudah barang pasti hubungan sesama kita penuh tata-etika dan akhlak terpuji. Mana mungkin kita akan menyakiti diri sendiri. Ia hampir pasti mustahil.

Ketiga-tiga titik muhasabah ini saya tinggalkan untuk diinsafi. Sejauh kaki berlari belum tentu kita akan sampai ke destinasi yang diingini namun destinasi pasti sekalipun kita berlari sekuat hati menjauhinya, siapalah kita untuk menolak takdir ajal-azali iaitu mati. Sekian. 

Salam hormat.

Muhammad Najid Abdullah

Eksekutif Pembangunan Manusia

Jabatan Sumber Manusia Dan Pentadbiran

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa