Matlamat dan Harapan

Firman allah SWT:

Maksudnya: “Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan-nya serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.”

(Surah Yasin: ayat 33)

Alhamdulillah. Puji dan syukur buat Allah SWT. Selawat sejahtera buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan umatnya hingga hari Kiamat.

Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan buat YAB Ustaz Dato’ Pengerusi atas kesudian hadir dan memberikan ucaptama dalam majlis pada pagi ini. Tidak lupa juga saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Penasihat PMBK yang turut hadir bersama-sama Warga Kumpulan PMBK dan kakitangan pada hari bersejarah ini. Atas komitmen ini saya nyatakan rasa syukur dan optimis bahawa PMBK akan kekal mencipta kejayaan dan kegemilangan, Insyaallah.

Penganalisa ekonomi meramalkan bahawa Tahun 2014 adalah sebagai tahun mencabar bagi perkembangan ekonomi negara. Tempiasnya pasti akan turut dirasai PMBK. Justeru, pertemuan di awal tahun sebegini diharap menjadi “turning point” kepada lonjakan yang bakal dijana, saya secara peribadi amat mengharapkan agar segala butir bicara yang akan dikongsikan oleh YAB Ustaz Dato’ Pengerusi akan dihadam oleh seluruh warga Kumpulan PMBK.

Hasrat dan lontaran idea YAB Ustaz Dato’ Pengerusi pastinya akan menjadi buah fikir berguna dalam meneruskan kecemerlangan PMBK. Moto “Untung Dunia, Untuk Akhirat” secara jelas meletakkan konsep takwa dalam setiap perancangan startegik PMBK. Ia jauh merentasi sempadan Dunia. Melihat sesuatu perkara menyeberangi sempadan akhirat Allah. Adanya konsep pahala dan dosa, Syurga dan Neraka, betul dan salah, bersungguh atau culas.

Kita sememangnya mahukan kejayaan dalam setiap gerak perancangan yang dilancarkan, namun tanpa boleh melupakan bahawa dalam setiap langkah yang diambil perlu memikirkan soal betul atau salah mengikut neraca agama. “Indikator Rabbani” inilah yang akan menentukan samada segala usaha yang dilakukan diberkati atau hanyalah “debu-debu yang berterbangan”. Nampak sempurna sekejap sahaja, sekelip mata ia hilang kerana tiada elemen keberkatan ekoran perlaksaan yang jauh menyimpang dari Syariat Allah SWT.

PMBK mempunyai hasrat dan matlamat yang jelas. Untuk itu, berjalanlah di atas jalan yang kita telah sepakati bersama tanpa kita meninggalkan sesiapa pun antara kita. Sikap dan akhlak yang akan menentukan kelestarian kita berkerja dalam satu bahtera. Walau sejauh mana sekalipun perbezaan namun hakikatnya perlu kembali kepada titik persamaan yang akan menjadikan kita dapat bergandingan dalam menghasilkan kerja yang cemerlang.

Sayugia dikesempatan yang terhad ini, saya mahu mengajak semua hadirin untuk sama-sama menjemput-hadir, hati dan rasa untuk sama-sama menginsafi keberadaan kita di PMBK. Amanah dan tanggungjawab yang disandarkan ke atas bahu kita selaku warga Kumpulan PMBK yang menuntut seluruh tenaga, keringat dan idea dalam membangunkan PMBK untuk kesejahteraan negeri. Ia juga disebut sebagai integriti yang akan menentukan kecemerlangan kita di sini dan pastinya menemukan kita dengan laluan sejahtera di hadapan Rabbul Jalil nanti.

Marilah sama-sama kita berganding bahu untuk membawa bahtera PMBK ini ke mercunya. Berbekalkan gembeling usaha yang dijernihkan dengan silaturrahim, berlapang dada dan skil pengurusan yang strategik akan membawa kita ke kemuncaknya. Usaha yang penuh itqan dan bertintegriti pastinya suluhan Allah SWT bagi memandu perjalanan kita menggerakkan bahtera ini. Siru Ala barakatillah.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu’alaikum wr wbth

Sanusi Hj Othman
Ketua Pegawai Operasi
Perbadanan Menteri Besar Kelantan
07 Rabiul Awal 1434H Bersamaan 09 Januari 2014

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa